Miri, 19/12/2009 – Bersempena memperingati Hijrah Rasulullah dan sambutan tahun baru hijrah 1431H Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak dan PAS Kawasan Miri telah turun padang menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.


Sasaran kali ini ialah penduduk di Kampung Wireless yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Miri. Keadaan dan suasana kampung yang agak serba kekurangan telah mendetikkan petugas-petugas PAS di Miri untuk menyampaikan sumbangan yang terbaik kepada penduduk di kampong ini.


Dalam suasana Miri sebagai bandaraya dan antara penyumbang utama pendapatan Negara melalui industri minyak dan gas, masih terdapat lagi penduduk serta kampung yang masih terpinggir daripada arus permodenan. Kemudahan system saliran dan perparitan yang tidak sempurna menyebabkan persekitaran di kampong tersebut menjadi tidak sihat. Dimaklumkan oleh petugas PAS yang menetap di kampung terbabit, dalam tempoh dua bulan ini 6 kes denggi telah dilaporkan.


YDP PAS Kawasan Miri, Hj Jofri B Jaraiee yang turut sama-sama hadir memberikan sumbangan di dalam program tersebut merasa kesal kerana pihak yang berwajib tidak mengambil tindakan yang serius bagi menyelesaikan permasalahan rakyat di sini yang berhak untuk hidup dalam keadaan yang lebih selesa.

Sebanyak 12 keluarga telah menerima sumbangan daripada pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak dan PAS Kawasan Miri di dalam program kali ini. Antara barangan yang disumbangkan kepada keluarga yang terbabit adalah beras, minyak, minuman, dan gula. Turut diberikan kepada keluarga yang menerima sumbangan ialah senaskah Harakah sebagai bahan bacaan alternative kepada keluarga terbabit.


Exco Kebajikan Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak sekali lagi menyeru kepada mereka yang ingin menyumbang kepada Tabung Pembelaan Rakyat Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak(BANK ISLAM MALAYSIA BHD : (11013010070358) dan menghubungi Exco Kebajikan Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak di talian 013-8377505.


Antara gambar semasa program: