KOTA BHARU, 11 Jan: Kementerian Dalam Negeri (KDN) seharusnya menangani isu kalimah Allah sejak awal lagi serta memberi penjelasan dengan baik kepada golongan bukan Islam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Husam Musa, berkata, PAS lebih mengutamakan permesyuaratan termasuk pertukaran hujah bagi melahirkan keharmonian pelbagai masyarakat di negara ini sejak sekian lamanya.

“Sebenarnya perkara ini boleh diatur di luar mahkamah, tetapi KDN amat lemah.

“Antara contohnya, kerajaan tidak pernah memanggil Majlis Fatwa bermesyuarat mengenai isu kalimah Allah ni,” katanya.

“Kalau Majlis Fatwa tidak bermesyuarat, bagaimana KDN tahu kedudukan isu berkenaan dengan kedudukan sebenar dan lebih meluas.

“Jadi saya cadangkan pada kerajaan mulakan dengan mesyuarat Majlis Fatwa, panggil pihak terbabit berbincang dan berikan pandangan dan kekangan sekiranya ada,” ujarnya.

Menurutnya, beliau yakin masih ada peluang penyelesaian untuk diselesai dengan baik.

“Bukan sahaja kes rumah Kickdefella (Syed Zaidi) sahaja, tetapi isu-isu seluruh negara seperti gereja diserang, rumah dilempar cat dan sebagainya dapat diselesaikan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kejadian ‘kapak terbang’ yang berlaku di rumah blogger Kickdifela semalam.