Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 30 Nov: Parlimen hari ini diberitahu bahawa sejumlah hampir 15 peratus kanak-kanak bawah umur lima tahun di kawasan Parlimen Tanjong Manis di bahagian Mukah Sarawak mengalami masalah kekurangan zat makanan.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Rashid Shirlin (BN-Papar) berkata kementeriannya memandang serius dan amat sedar dengan kejadian yang berlaku.

Katanya pada tahun 2007, sejumlah 17 peratus kanak-kanak di kawasan tersebut mengalami masalah kurang berat badan dan telah menurun kepada tujuh peratus pada September 2009.

Katanya kanak-kanak yang mengalami masalah kurang berat badan diberi rawatan mengikut keperluan termasuk penjagaan kesihatan rutin seperti imunisasi, pemberian ubat cacing, rawatan untuk penyakit, rawatan runding cara pemakanan dan lawatan rumah ke rumah.

Di samping itu, kanak-kanak turut diberi bantuan susu tepung penuh krim dan multivitamin mengikut keperluan.

Beliau berkata demikian bagi nenjawab soalan Datuk Hajjah Norah Abd Rahman (BN-Tanjong Manis) yang meminta kementerian menyatakan apakah Kerajaan bercadang untuk membasmi kekurangan zat makanan (malnutrition) di kawasan Tanjong Manis yang amat ketara; dan apakah Kementerian sedar bahawa keadaan tersebut wujud sekian lama ini.

Sementara itu, tidak berpuas hati dengan jawapan, Norah memberitahu bahawa pihak Kementerian tidak membuat lawatan secara menyeluruh ke kawasan Tanjong Manis dan tidak menangani masalah kekurangan zat makanan yang dihadapi oleh kanak-kanak di situ.

"Saya tidak setuju dengan jawapan Timbalan MNeteri. Saya tahu, pihak kementerian tidak melawat seluruh kawasan.

"Ada juga yang mendapat penyakit cacing di mata, bagaimanan kementerian mengatasi masalah ini. Ketua Menteri Sarawak juga turut bimbang isu ini," katanya yang kemudian dibidas semula Rosnah.

Kata Rosnah bahawa, kementerian sentiasa berusaha untuk menangani masalah kekurangan zat makanan.

"Walau bagaimanapun, penyebab masalah kurang zat makanan adalah pelbagai faktor termasuk sosio-ekonomi dan budaya," katanya.