Kerajaan bangunkan Tamu Bakam dalam RMK-10
by Mohd Norhadie Sahari. Posted on July 26, 2010, Monday – Utusan Borneo
MIRI: Tamu Bakam yang juga dikenali sebagai Bakam Point bakal dibangunkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) di kawasan perkampungan nelayan Bakam bagi merancakkan lagi ekonomi dan sosial masyarakatnya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Datuk Aidan Wing berkata perkampungan nelayan di Bakam itu juga bakal dijadikan kampung angkat oleh Persatuan Melanau Miri (PMM) bagi merealisasikan hasrat tersebut. “Kita sekarang memberi fokus untuk memajukan Bakam sebagai pintu masuk bagi kawasan Lambir berikutan kedudukannya yang strategik dalam memajukan dan meningkatkan pendapatan penduduk setempat,” katanya pada majlis Hari Keluarga PMM semalam, Aidan menjelaskan, Bakam Point berkenaan bakal dibina di tapak sedia ada dan dijangka meningkatkan lagi sumber pendapatan penduduk yang kebanyakan bekerja sendiri sebagai nelayan dan petani. Menurutnya, Tamu Bakam akan dibina di atas sebidang tanah berkeluasan 0.86 ekar dengan kos pembinaan dianggarkan berjumlah RM400,000. “Kita juga telah memohon peruntukan berjumlah RM4.9 juta daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memperkembangkan sector ekonomi penduduk Lambir terutamanya di Bakam,” tambahnya. Sehubungan itu, Tamu Bakam kelak bakal menjadi simbol ekonomi penduduk Lambir, seterusnya merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan rakyat berpendapatan tinggi. Dalam majlis yang sama, beliau juga menyarankan supaya ibu bapa mengutamakan pendidikan anak-anak mereka kerana mereka juga bakal menerajui kepimpinan negara pada masa akan datang. “Pendidikan adalah penting pada masa ini kerana kerajaan memerlukan guna tenaga kerja berkemahiran dan berpengetahuan untuk membangunkan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE),” katanya. Menurutnya, pada tahun 2030, kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya 2.3 juta pekerja berkemahiran dan berpengetahuan untuk diserapkan dalam SCORE.


Ulasan Dari PAS Miri
Mengulas kenyataan yang dibuat oleh Adun Lambir pada tahun lalu (2010) yang memberi fokus untuk memajukan Bakam sebagai pintu masuk bagi kawasan Lambir berikutan kedudukannya yang strategik dalam memajukan dan meningkatkan pendapatan penduduk setempat. Kita dapati Kampung Bakam masih lagi terpinggir dari arus pembangunan. Kampung Bakam adalah sebuah perkampungan yang berhampiran dengan pantai laut cina selatan, kebanyakan penduduknya bekerja sebagai petani dan juga nalayan. Kampung Bakam jarak perjalanan ke bandaraya Miri lebih kurang setengah jam ke pusat Bandar. Jalan masuk ke dalam kampung Bakam terlalu sempit dan tidak sesuai untuk kenderaan besar. Sudah hampir bertahun-tahun lamanya penduduk kampung Bakam memohon jalan yang lebih luas dan bertar kedalam kampung tetapi sehingga kini hanya ada sebahagian kecil sahaja ada jalan bertar itu pun sempit dan kecil hanya sesuai untuk motorsikal saja dan jalan yang terdapat diluar atau sekitar jalan kampung pun separuh bertar, Apabila masuk kedalam pendalaman sedikit jalan masih teruk seperti yang terdapat dalam gambar ini.

Jalan berlumpur dan becak apabila waktu hujan. Sukar bagi petani atau perkebun menjalankan aktiviti pertanian serta membawa hasil kebun mereka ke Bandar.

Bukan saja itu masih ada lagi rumah penduduk yang belum mendapat bakalan air bersih dan masih menggunakan air perigi dan juga bakalan api elektrik pun belum semua yang dapat menikmatinya disebabkan kos pemasangan yang terlalu mahal buat keluarga yang miskin.
Kita memohon agar pihak yang berkenaan jangan hanya pandai berjanji tetapi tidak dapat melaksanakan janji mereka apabila tiba waktu janji tersebut dinanti-nantikan oleh penduduk kampung sampai sekarang pun tidak kelihatan. PAS dan PAKATAN Rakyat sangat perihatin tentang nasib penduduk kampung yang sudah lama ketinggalan dalam arus pembangunan. Selama ini nasib penduduk kampung terabai tanpa dipedulikan oleh Adun yang berkenaan kecuali apabila musim pilihanraya barulah muncul muka pemimpin Bn merayu undi dari penduduk kampung. Mereka akan berjanji seperti biasa kepada penduduk dimana akan diberi peruntukan kemudahan asas serta naik taraf jalan di kampung tersebut tetapi bila habis pilihanraya semuanya tinggal janji saja. Penduduk kampung dengan penuh kesabaran menunggu bila lagi kampung mereka akan dinaik tarafkan. Begitulah nasib penduduk dan rakyat Sarawak yang setia dengan BN. Mereka hanya dijadikan alat untuk meraih undi dan mereka tidak dapat apa yang mereka hajati kerana hanya segelintir saja yang ada kepentingan dengan pemimpin BN saja yang akan mendapat hasil tersebut. Kita selalu mendengar BN berjanji memberi peruntukan yang berbilion-bilion ringgit untuk kemudahan asas rakyat tetapi siapa yang dapat hasil tersebut adakah rakyat atau pemimpin BN? Kita mohon agar peruntukan tersebut hendaklah disalurkan dengan segera tanpa sebarang alasan lagi kerana apa yang penduduk mahu adalah kemudahan asas bukannya janji-janji kosong saja.

Tepuk dada tanya iman masing-masing semasa mengundi kelak fikirlah baik2 sebelum menyesal di kemudian hari. Kita sudah memberi peluang kepada BN memerintah hampir 50 tahun di Sarawak tetapi rakyat Sarawak tetap masih ramai yang hidup dalam kemiskinan. Ubahlah sekarang demi kesejahteraan ummah. Kita adalah tuan yang sebenarnya bukannya wakil rakyat. Kerana kitalah yang menentukan siapa yang layak menjadi wakil kita dalam Dun atau parlimen. Jadi kita ingatkan wakil rakyat janganlah sombong dan menyalahgunakan kuasa apabila sudah dilantik jadi wakil rakyat. Laksanakan tugas kamu dengan adil dan amanah demi kebajikan rakyat semua tanpa mengira agama,bangsa dan fahaman politik masing-masing. Kalau kamu sudah tidak mampu melaksanakan tugas dan amanah kamu bagilah peluang pula pada PAS dan PAKATAN Rakyat untuk memerintah, Isya-Allah pasti ada perubahan yang lebih baik untuk rakyat semua.