PAS Kawasan Miri kecewa dengan keadaan jalan raya yang menghubungkan Taman Negera Niah ke kawasan luar. Hasil daripada lawatan yang dilakukan oleh beberapa orang ahli jawatankuasa PAS Kawasan Miri mendapati terdapat beberapa tempat jalan yang tidak berturap atau telah rosak. Kerosakan dan ketidaksempurnaan ini bukan sahaja berlaku di jalan raya ke Taman Negara Niah ini malah keadaan tempat meletakkan kereta yang tidak berturap. Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku di sebuah taman negara yang terkenal seperti Taman Negara Niah ini.Suasana seperti ini akan memberi gambaran awal yang tidak baik kepada pelancong-pelancong samada dari dalam mahupun dari luar negara. Perkara seperti ini seharusnya menjadi keutamaan Kementerian Pelancongan Malaysia bagi menyediakan kemudahan yang terbaik di taman-taman negera seumpa ini. Seharusnya jumlah dana RM1.8 juta untuk pembukaan dan pengurusan promosi online pelancongan Malaysia disalurkan bagi pembaikan dan pengurusan kemudahan-kemudahan awam di kawasan pelancongan seumpama ini.

"Saya cukup sedih melihat keadaan dan kemudahan di sekitar Taman Negera Niah ini yang cukup dikenali di seluruh dunia. Kemudahan asas seperti jalan yang berturap dan kawasan letak kereta yang lebih tersusun perlu disediakan segera", kata M Arifiriazul Ketua Penerangan PAS Miri yang bersama-sama di dalam rombongan tersebut.

PAS Miri ingin mencadangkan agar pihak kementerian yang terbabit untuk mengadakan lawatan segera bukan sahaja ke Taman Negera Niah malah ke semua taman-taman negeri di Malaysia untuk menilai serta meneliti keadaan kemudahan yang disediakan.

"Kita mahu Kementerian Pelancongan Malaysia untuk adakan lawatan ke seluruh taman negara di negara ini untuk menilai keadaan kemudahan yang disediakan", cadang Ir M Khairulnizam Yob Timbalan YDP PAS Miri.