ASSALAMU 'ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

Salam sejahtera pada saudara-saudari muslimin-muslimat dan penyokong2 yang dihormati sekelian,

Hari ini adalah hari pertama di Bulan Muharram 1431 H. Bulan muharam adalah bulan pertama dalam kalender Hijriah. Bulan ini termasuk dalam salah satu dari empat bulan haram (suci), sebagai mana yang difirmankan oleh Allah:

“Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram”. (At-Taubah: 36).

Waktu dan masa telah berlalu dengan pantas maka pada masa ini genaplah 1431 tahun sejak Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah dari Mekah ke Madinah.

Ramai dikalangan kita mula dan ada yang sudah berazam dengan bermacam-macam cara kununnya untuk berubah dari yang buruk kepada yang baik dsbnya.

Adakah kita terfikir mengapa kita mesti menunggu waktu-waktu tertentu baru kita nak berubah?

Dalam satu wasiat Nabi Muhammad s.a.w. kepada Ibnu Umar (Abdullah) r.a. berbunyi: "Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang musafir atau pun sebagai pengembara."
Huraiannya - Hadis ini menganjurkan kepada kita supaya sentiasa mengingatkan tentang kematian dan dan jangan terlalu leka dengan kehidupan dunia yang fana ini.

Ibnu Umar pernah berkata: Jika anda masih hidup pada waktu pagi, jangan tunggu hingga ke petang dan jika anda masih hidup pada waktu petang, jangan tunggu hinga ke pagi, sediakan dirimu pada masa hidup untuk bekalan waktu mati, dan pada masa sihat untuk bekalan waktu sakit.

Justeru, wasiat Nabi di atas sentiasa mengingatkan kita betapa kita bagaikan musafir yang sedang berlalu sementara di dunia ini, maka apakah persiapan bekalan yang telah kita buat bagi menghadapi Allah SWT pada hari yang penuh dengan persoalan di padang Mahsyar?

Kita tidak akan hidup kekal dan lama di dunia, oleh itu, jangan sekali-kali kita melakukan kejahatan. Jika kejahatan yang dilakukan boleh menyebabkan kita tidak mati, maka lakukanlah, tetapi kejahatan yang kita buat semasa hidup di dunia, kesemuanya akan ditayangkan semula di hadapan Allah oleh para jururakam di kalangan para Malaikat, walaupun kita telah melupakannya, tetapi Allah sekali-kali tidak demikian.

Nasib buruk orang Islam sekarang disebabkan oleh kelemahan diri mereka sendiri kerana takut untuk mengubah nasib mereka daripada penindasan kepada kebebasan dari kecengkaman pemerintahan yang zalim. Mereka takut untuk mengubah system jahiliyah kepada system islam yang adil & saksama untuk semua. PAS untuk semua.

Mereka lebih takutkan manusia dari takutkan ALLAH. Maka Allah pun tidak akan mengubah nasib kita.

Allah SWT berfirman,“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah terlebih dahulu apa yang ada pada diri mereka” Surah Ar-Ra’d ayat 11.

Jadi umat islam kena berfikir bagaimana nak mengubah nasib umat islam yang mundur ini dari semua segi kepada yang lebih baik lebih-lebih lagi dalam bidang ekonomi. Jadi kita kena tanya diri kita sendiri kalau ekonomi kita lemah maka mudahlah kita dikuasai oleh mereka yang memegang ekonomi kita, jadi ayuh kita tingkatkan ekonomi kita agar apa yang kita perolehi benar-benar bersih dan suci, seperti apa yang kita makan selama ini adalah makanan yang jelas dari sumber yang halal.

Rasullullah S.A.W. bersabda : "Perkara halal adalah jelas dan yang haram juga jelas (masbuh), ramai orang yang tidak mengetahui apakah ia termasuk dalam status halal atau haram?. Oleh yang demikian sesiapa yang menjauhi kerana kepentingan agama dan menjaga kehormatanya, maka ia selamat (Riwayat: Bukhari, Muslim dan Tarmizi).

Berdasarkan hadis di atas ibu bapa menjadi isu utama dalam mencorak dan menentukan sama ada anak itu berpotensi menjadi baik atau sebaliknya. Persoalan besar timbul ialah mengapa terdapat sebahagian ibu bapa yang bersungguh-sungguh membimbing anak dan keluarga mereka ke arah menjadi manusia yang berguna tetapi tidak mencapai matlamatnya.

Al-Quran dan Hadis menjadi rujukan dan panduan yang baik bagi menganalisis mengapa terdapat manusia bertindak liar, kejam dan jahat. Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya Allah Taala itu baik, Dia tiada akan menerima melainkan yang baik saja. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kaum mukminin sama sebagaimana Dia memerintahkan para Rasul”.

Dari Abu Hurairah r.a katanya, :Rasulullah SAW bersabda:

“Hai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima sesuatu melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang-orang mukmin seperti yang diperintahkan-Nya kepada para Rasul.

Firman-Nya:

“Wahai para rasul, Makanlah makanan yang baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (al-Mukminun:51)

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah rezeki yang baik-baik yang telah kami rezekikan kepadamu…”(al-Baqarah:172)

Kemudian Nabi SAW menceritakan tentang seorang lelaki yang telah lama berjalan kerana jauhnya perjalanan yang ditempuhnya sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu. Orang itu menadah tangannya ke langit dan berdoa:”Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! “. Padahal makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan dia diasuh dengan makanan yang haram. Maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya.”

(Riwayat: Muslim).

Berdasarkan dalil di atas jelas bahawa pemakanan halal dan baik akan bertindak sebagai motivasi kepada manusia untuk melakukan perbuatan yang selari dengan perintah Allah. Oleh sebab itu Allah memerintahkan Rasul, Nabi dan umat masing-masing membiasakan diri dalam kehidupan seharian dengan mengamalkan pemakanan yang halal dan baik.

Makanan dan minuman yang halal dan baik itu menjadi punca kebersihan akal, jiwa dan batang tubuh manusia. Mereka yang membesar dan berkembang dengan sumber makanan halal dan baik akan mendorong mereka lebih berhati-hati jangan sampai terlanjur melakukan perbuatan budaya berdosa. Jika terlanjur pun dia akan segera menyesali dan bertaubat nasuha. Begitulah hebat dan mujarabnya kesan makanan halal kepada akal, jiwa dan fizikal manusia.

Dengan demikian mereka yang membiasakan diri dengan rezeki halal kuat beribadah dan menjalankan perintah Allah dengan tekun. Mereka lebih yakin dengan kehidupan kerana memperoleh ketenangan dan kedamaian selari dengan keistimewaan makanan halal yang dijamin Allah.

Maka dengan sebab itulah kita perlu ekonomi islam yang mantap bermula dari sumbernya (bahan mentah) yang suci lagi halal sehingga kepada proses yang terakhir dimana ianya akan jadi bahan makanan kita seharian. Oleh itu umat islam kena ada semua ini kalau mahu melihat umat islam berjaya di dunia & di ahkirat kelak. Kuasailah ilmu yang boleh memberi menafaat pada semua insan dan yang berpandukan syariat islam agar negara kita ini akan aman dan damai bila manusia yang memimpin itu bersih dari sifat keji dan mungkar.

Semoga usaha kita selama ini diredhai ALLAH & sentiasa dalam petunjukNya.

Tepuk dada tanyalah aqal fikiran kita sendiri.

PAS for All

Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu 'alaikum warahmatulahi wabarakatuh.

Sekian wasalam

YDP Kswn Miri