السلام علیكم ورحمة الله وبكاتھ
KENYATAAN MEDIA

Pengumuman Datuk Shafie Apdal tentang peruntukan RM3.4 Billion untuk pembangunan Sarawak jelas menjadi gula-gula politik BN sementelah hampirnya pembubaran DUN Sarawak yang dilihat oleh ramai pengamat politik akan berlaku seawal April 2010. Perkara ini diperkuatkan lagi dengan kebanjiran para pimpinan Kerajaan Pusat ke negeri ini. Begitu juga peristiwa kemasukan PPP ke Sarawak makin menguatkan lagi ramalan ini.PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat menyeru agar setiap peruntukan yang diluluskan mestilah disampaikan untuk kegunaan masyarakat kesuluruhannya. Isu jalan berlubang, kesesakan lalulintas dan tempat pembuangan sampah yang tidak berkesudahan di Miri, sebagai contohnya, menjadikan setiap pengumuman oleh Barisan Nasional; jelas sekadar gula-gula politik.

Beberapa bulan dulu rakyat Sarawak telah dikejutkan dengan laporan SPRM bahawa peruntukan projek-projek Kerajaan Negeri Sarawak mencapai ketirisan hampir 60% dari jumlah peruntukan tersebut. Peruntukan kewangan samada disalirkan ketempat lain atau projek tidak jalan tetapi bayaran dibuat.Oleh itu, PAS menolak pengumuman RM3.4 billion ini sekiranya ia digunakan untuk kepentingan politik BN atau untuk mengkayakan kroni-kroni BN. Peruntukan yang besar itu akan diagih-agih sesama mereka umpama babak dalam cerita Seniman P Ramlee "1 untuk kau 9 untuk aku”.

Laporan siasatan SPRM tentang ketirisan tersebut masih belum kelihatan.PAS dengan ini mendesak agar segera diumumkan dan mereka yang terlibat dihadapakan ke mahkamah, bukannya terus menerus mengugut Kerajaan Pakatan Rakyat dalam isu remeh seperti cek RM2,400 dan lembu korban semata-mata.PAS juga mendesak peruntukan yang disebut oleh Shafie Apdal ini adalah untuk kebajikan rakyat di samping memastikan keselamatan sosial rakyat dijamin. Isu serangan ke atas adik Winstien Baleng di Kuching; isteri Pengerusi DAP di Sibu dan serangan ke atas rumah ibadah di Miri memerlukan keseriusan kerajaan menanganinya demi untuk memastikan keselamatan semua pihak .

PAS dan rakan–rakan PR akan terus menjunjung komitmen dalam memastikan prinsip Rukunegara dan keharmonian semua pihak seperti yang dizahirkan sempena Konvokesyen Pakatan Rakyat yang lalu diperkukuhkan.PAS dengan ini juga mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina pada semua masyarakat Tionghua di seluruh negara khususnya di Miri dan Sarawak. Semoga Tahun Baru ini membawa penigkatan dan penambahbaikan yang berterusan . Kepada Umat Islam, PAS menyeru diteruskan usaha dakwah ke arah Negara Berkebajikan selaras dengan usaha kita memperingati kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W pada 12 Rabi'ul Awal 1431H bersamaan dengan 26 Februari 2010 ini.

GONG XI FA CAI dan Salam Maulidur Rasul.
‘PAS UNTUK SEMUA’
PAS KAWASAN MIRI