Dalam tahun-tahun 1980-an dan 1990-an, UMNO selalu mengejek persahabatan antara DAP dengan PAS sebagai tidur sebantal mimpi lain-lain. Apabila politik Malaysia memasuki alaf baharu, ungkapan atau sindiran demikian mati dengan sendirinya.

UMNO tahu DAP dan PAS tidak main-main. UMNO tahu apa-apa juga yang tercatat dalam perlembagaan sesebuah parti sifatnya fleksibel. Perbezaan wajib diketepikan jika mahu berpakat. Pada masa ini, PAS dan DAP bekerjasama atas dasar persamaan, iaitu membentuk negara yang demokratik, adil, dan bersatu.

Dasar ini tidak sama dengan UMNO-BN kerana mereka masih tenggelam dalam lautan perkauman. Orang Cina dan India selalu kena sesah apabila UMNO tersepit. Namun sikap lembek MCA, MIC, dan Gerakan menyebabkan mereka terus berada dalam BN walaupun hati mereka terguris. Pemimpin-pemimpinnya pula lebih mementingkan kuasa dan jawatan. Oleh sebab itu, suara majoriti ahli yang menggesa hubungan itu diputuskan tidak diambil berat. Ternyatalah kini bahawa MCA, MIC, dan Gerakan tidur sebantal dengan UMNO tetapi mimpi masing-masing tidak sama!!!
Kekentalan hubungan antara DAP dengan PAS mendatangkan keperitan kepada BN-SUPP di Sibu pada masa ini. Keupayaan PAS mendekati masyarakat bukan Islam di Sibu, terutamanya penganut Kristian menjadi mimpi ngeri BN-SUPP. Mereka tak terlawan isu yang dibawa oleh Pakatan Rakyat. Maka terserlahlah imej PDRM sebagai penyelamat BN apabila melarang Pakatan menggunakan isu kalimah Allah di Sibu sedangkan fitnah dalam isu negara Islam yang dibawa oleh SUPP dibenarkan.

Gelanggang pilihan raya di Malaysia masih tidak rata. BN dibantu oleh pelbagai jentera kerajaan. Hal ini tidak berlaku di negara-negara maju. Sekali gus keadaan ini membuktikan bahawa negara ini masih mundur.Walau bagaimanapun, Pakatan perlu terus mendekati pengundi di Sibu kerana tanda-tanda peningkatan sokongan terhadap DAP sudah dapat dilihat. Semangat juang yang tinggi akan membawa kejutan di Sibu. Kita perlukan semangat itu, bukannya semangat Melayu Bangkit yang mencurigakan kaum bukan Melayu itu.