KUALA BARAM – Pemilik rumah di Kampung Batu 1, Kuala Baram yang mengadu rumahnya menunggu rebah berpunca daripada limpahan air dari anak sungai meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menembok di belakang rumah bagi menggelakkan masalah itu berlaku. Zainal Tar, 43 berkata, parit yang dibina oleh bekas pemilik tanah di belakang rumahnya itu telah menyebabkan air dari sungai masuk ke kawasan rumahnya menyebabkan tiang reput dan rumah tersebut retak dan senget.
Kini Zainal dan ahli keluarganya yang lain tinggal di rumah yang dibina kerajaan dibawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), namun mereka masih menggunakan rumah yang senget itu sebagai tempat memasak dan menyimpan barang. “Selain senget, berlaku keretakan di bahagian dinding rumah tersebut. Selain itu air yang melimpah kerap menyebabkan berlakunya banjir kilat di bawah di kedua-dua rumah.” “Sehubungan itu saya berharap wakil rakyat dapat berbuat sesuatu termasuk menutup terus parit di kawasan tersebut untuk menggelakan air sungai masuk terutama musim hujan,” katanya hari ini. Menurut Zainal, dia tidak ada kuasa ke atas kawasan tersebut kerana ia membabitkan tanah orang lain. “Kami telah lama memohon bantuan dari pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Perparitan untuk menembok tanah di kawasan rumah kami tetapi sehingga sekarang, belum ada sebarang tindakan,” ujarnya. Dia berkata, kediaman beliau di Lot No 7756 merupakan satu-satunya rumah di kampung berkenaan yang berdepan masalah itu yang turut menimbulkan masalah bau dan pembiakan nyamuk aedes. “Kami berdepan masalah itu sebanyak tiga atau empat kali dalam sebulan semasa musim tengkujuh. Saya menganggarkan keluasan 50 kaki lebar dan 200 kaki panjang kawasan rumah saya dimasuki air. Air mencapai ketinggian sehingga lebih dua kaki sekiranya hujan lebat.” Jelasnya, dia pernah mengutarakan kepada Biro Pengaduan Awam Pejabat Negeri Sarawak selain Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) pada tahun 2009 dan 2010

Keadaan rumah yang hampir roboh
dan Saluran air yang tersumbat

PS: Pengadu pernah menyuarakan masalah beliau kepada PAS Miri dan Pihak PAS Miri juga pernah menghubungi talian khidmat yang mengatakan belum ada peruntukan untuk kawasan tersebut. Kita sangat berharap pihak yang berwajib harus mengambil tindakan segera mengatasi masalah pengadu sebelum sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.