Gambar Hiasan keadaan jalanraya di waktu petang di Tudan.


PAS Kawasan Miri merasakan keadaan lalu-lintas di sekitar bulatan Pujut 7, Miri semakin kritikal dengan kesesakan yang amat teruk pada waktu pagi dan waktu petang.Kesesakan teruk ini berlaku ketika penduduk-penduduk di sekitar Senadin, Permyjaya, Tudan dan Lutong pergi dan balik dari pejabat masing-masing. Kesesakan luar biasa ini adalah akibat daripada sistem jalan yang kurang sempurna.
Perkara ini dapat dielakkan lebih sepuluh tahun yang lalu sekiranya pihak kerajaan meneliti pelan pembangunan di sekitar kawasan Permyjaya dan Senadin. PAS Kawasan Miri merasa hairan kenapa berlaku pembesaran dan penaikan taraf jalan menghubungkan Lutong dan Kuala Baram melalui Batu Satu sedangkan sekarang jalan itu tidak lagi menjadi jalan utama ke Kuala Baram atau ke Brunei. Kenapa tidak perancangan pembesaran jalan tersebut dipindahkan ke jalan menghubungkan Pujut 7 dan Permyjaya? Ini menunjukkan kerajaan yang ada pada ketika itu tidak memiliki keupayaan untuk merancang dan menguruskan pembangunan infrastruktur dengan baik.

Oleh yang demikian, kami merasakan perlu ada penjelasan daripada pihak yang kerajaan dan Majlis Bandaraya Miri berkenaan kegagalan perancangan ini. Dalam masa yang sama, kami ingin mencadangkan dalam tempoh pembinaan dan pembesaran jalan menghubugnkan Pujut 7 dan Permyjaya ini, pihak PDRM khususnya bahagian trafik perlu mengambil tindakan serius untuk menempatkan anggota bagi mengawal lalu-lintas. Kita tidak mahu pihak PDRM hanya bertindak efektif dalam menguruskan demonstrasi awam yang aman tetapi lembab dalam menguruskan tugasan harian mereka.

Mohammad Arifiriazul,
Ketua Penerangan PAS Kawasan Miri,
www.pas-miri.blogspot.com, arifiriazul@pas.org.my