PAS Sarawak P218 Sibuti :Perjalanan Siasah dan Dakwah,Dari Kosong ke  7282Menyingkap keputusan Pilihanraya yang baru berlalu,sinar harapan buat PAS di Bumi Kenyalang kian membara. Benar,PAS kalah disemua lima kerusi yang ditandingi, namun usaha awal ini pasti akan membuahkan hasil lumayan tidak berapa lama lagi. Soal bila dan soal siapa,Allah menentukannya,dan kerja dakwah dan siasah ini diteruskan.
Buat kali pertama sejak PAS membina tapak di selatan Sarawak ,PAS mengorak namanya di utara. P218 Parlimen Sibuti,yang berada ditengah-tengah dua  kawasan yang dianggap baru ,PAS Kawasan Bintulu dan Miri,membina satu asas perjuangan PAS di utara Sarawak. Dengan kapasiti jentera PAS  yang sederhana berhadapan dengan jentera kewangan dan sumber manusia BN yang mega sifatnya,bagai menyaksikan satu pertembungan yang sudah dijangka pemenangnya.
Namun, siapa sangka bermula tarikh keramat 20 April 2013,di balik kibaran panji Biru di Majlis Daerah Subis,gerombolan pejuang panji Hijau berarak gagah memberi  saingan. Siapa sangka,jumlah hampir seribu manusia terdiri pelbagai etnik budaya gagah melangkah . Ramai orang kata ia satu sejarah,tapi ,ingatlah, kalau ia sejarah, maka dimasa hadapan sejarah ini harus berubah ke hijrah yang lebih baik.Seusai pengumuman nama calon,calon PAS,Saudara Robby@Muhammad Zaid Tandang diarak bagai telah mencapai kemenangan. Ya ,beliau telah menang membawa mesej PAS di bumi Sibuti ini.
Bermula  kempen awal,PAS bermula sederhana,pemasangan bahan kempen dimula kecil kecilan tapi cukup untuk memberi impak signifikan kehadiran PAS. Kereta kebal PAS sulung kukuh di Batu Niah,pekan kecil yang sebelum ini mungkin tidak kenal bendera bulan Hijau PAS. Ironinya satu jalan kecil disitu diberi nama Jalan Gua Bulan….. Menarik bunyinya.
Terkejut kerana usaha PAS ini,seluruh jentera BN dikerah hingga ke tahap maksima .Ketua Menteri dengan puak puak pemerintah negeri hadir membawa harta rakyat untuk diserahkan semula. Projek bekalan air dan elektrik 66 juta, projek pelancongan 5 juta, pecah tanah itu,pecah tanah ini,surat tawaran  geran tanah berterbangan.Siapa untung? Rakyat..….dengan syarat ia dilaksanakan sepenuhnya. Kesimpulannnya,PAS telah menang dalam konteks ini,memberi rakyat setiap manfaat.
Di penghujung kempen;saraf semakin menggila,poster ‘penghinaan Tuan Guru” digantung di setiap pelusuk Sibuti. Bahan kempen PAS dimusnahkan,penguasa ambil laporan ,namun tiada tindakan. Yang tinggal hanya munajat doa dan ikhtiar sedaya upaya petugas.  Tapi petanda kekalahan memang ada,munajat di Surau dan Masjid,hanyalah kecil berbeza program karaoke dan Jom Bergendang yang dikelola oleh PBB-BN. Nah! Bagaimana PAS Mahu menang di peti undi Melayu-Islam ;jika ini situasinya? Islam belum benar berbekas dijiwa pengundi Melayu.
Di hari pengundian,hadir didepan mata,pembelian undi di beberapa kawasan rumah panjang pendalaman ,bagi mengukuhkan ketidak sucian proses pengundian. Gambar dirakam ,laporan dibuat,tapi sekadar itu sahaja usaha kita terdaya.
Malam menyinggah,keputusannya PAS kalah  majoriti  6066 undi pada penyandang kerusi. Saudara Robby ,calon PAS diundi 7,282 penduduk Sibuti.  Kalau dulu ,dari kosong dan tiada apa –apa,tapi PAS di utara Sarawak sudah ada 7,282 penyokongnya.  Adakah PAS telah kalah?  Kalah siasah,menang dakwah.

Kepada yang menang,teruskan tindakan
Kepada yang kalah,teruskan perjuangan..
 
Abu Naufal Al-Arabi,Bintulu
AJK P218 PAS Sibuti