Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengesa semua entiti dalam PAS hendaklah sentiasa bersama mempersiapkan keperluan terkini di segenap peringkat jentera parti selain perlu maju ke hadapan dengan dibekalkan kefahaman yang jelas terhadap fikrah perjuangan parti.
"Di samping menggunakan ilmu pengurusan serta pentadbiran yang sesuai sebagai satu persediaan mencapai kemenangan dan mengisi kemenangan di masa akan datang.
Semua organisasi yang melibatkan Majlis Syura Ulama', Jawatankuasa PAS Pusat, Dewan Ulama', Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Dewan Himpunan Penyokong PAS dan semua lajnah termasuk jentera pilihanraya perlu diperkemaskan semua peringkat bahkan perlu dilipat ganda gerakerja.

Membentangkan ucapan dasarnya dan merasmikan Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-56 itu beliau menegaskan, semua petugas dikehendaki dilatih sehingga mempunyai kemahiran yang tinggi sebagai persediaan menghadapi Piliharaya Umum Ke 13.
Jelasnya, ketetapan untuk mentarbiyah jentera di semua kawasan dan cawangan yang bertebaran di setiap pelosok negara perlu dilaksanakan di kawasan perbandaran dan taman perumahan, penempatan tanah rancangan dan peneroka, termasuk menelusuri setiap kampung dan desa, serta berada di setiap ceruk lorong dan jalan.


"Semua keperluan tersebut dilakukan sehingga mesej Islam yang dibawa oleh PAS berjaya difahami dan akhirnya diterima oleh setiap jiwa yang mendengarnya.
"Pemerkasaan parti telah menjadi keperluan ke arah menyediakan ‘amilin dan ‘amilat parti, mengikut sibghah (acuan dan celupan ) Islam, dari segi ilmu, cara beramal dan akhlaknya,"" katanya lagi kepada hampir 5,000 para perwakilan dan pemerhati yang hadir.
Tegas Abdul Hadi, ilmu yang dimaksudkan bukan sahaja berilmu dengan sekadar pengetahuan, tetapi berilmu yang membuahkan amal dengan kekuatan akal yang dipandu oleh akidah, syariat dan akhlak, serta dibajai oleh kekuatan rohani yang melahirkan sifat taqwa seterusnya menjadi mujahid yang berjaya.


"Setiap ahli parti haruslah bersedia untuk menyumbang harta dan jiwa raga sekadar kemampuan yang sebenarnya tanpa sembunyi, dan bersedia menghadapi musuh yang berlipat ganda jumlah anggota, peralatan dan hartanya," ujarnya.
Presiden PAS itu juga yakin akan datangnya pertolongan Allah apabila memenuhi syarat mencapai kemenangan dan mengisi kemenangan dengan memetik maksud ayat dalam Surah Al-Hajj."Cabaran mendatang telah mewajibkan parti untuk memperkasakan PAS dalam arena politik tanah air, dengan Tasawur Islam yang menjadikan PAS lebih diterima rakyat semua kaum, dihormati kawan dan digeruni lawank," ujarnya.

Jelas beliau lagi, pengisian aktiviti mengukuhkan parti melalui usaha yang serius, berperancangan dan bersungguh-sungguh secara menyeluruh hendaklah dilaksanakan dengan gigih di semua peringkat, terutamanya untuk memastikan kawasan dan cawangan PAS yang ada di seluruh negara agar lebih aktif, bangun dari dibuai mimpi kemenangan, seolah-olah kemenangan akan melutut di kaki mereka tanpa bekerja keras