KUALA LUMPUR, 22 Jun: Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) didakwa hanya memfokuskan kepada pembangunan fizikal negara dan meminggirkan soal pembinaan akhlak dan modal insan masyarakat.Ahli Parlimen Baling, Ustaz Taib Azzamuddin Mohd Taib (gambar) ketika membahaskan RMK10 di Dewan Rakyat hari ini melahirkan rasa kesal melihat tiada kesungguhan pihak kerajaan dalam merangka strategi ke arah pembinaan masyarakat bermodal insan tinggi bagi menangani kadar jenayah dalam negara.

"Statistik jenayah pada lima bulan pertama 2010 agak menggerunkan. Dengan statistik jenayah yang teruk ini apakah dengan RMK10 ini kita boleh berasa lega dengan mengenepikan aspek-aspek pembinaan akhlak ini?" soalnya.Katanya, RMK10 juga seharusnya menumpukan penjanaan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang dilihat berpotensi membina masyarakat bermodal insan yang tinggi.

"Kerajaan jangan mengabaikan SAR kerana institusi pendidikan ini banyak menabur jasa kepada masyarakat. Jika kerajaan memberi peruntukan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), kita juga amat berharap kerajaan memberi peruntukan yang sama kepada SAR," tegasnya.

Turut dibangkitkan berhubung peruntukan penambahbaikan kemudahan kesihatan di kawasan luar bandar bagi menampung keperluan penduduk."Sebagai contoh, Hospital Daerah Baling menampung 200,000 penduduk tapi tidak mempunyai doktor pakar.
"Kemudahan kesihatan di luar bandar sangat minima. Bukan hanya ketiadaan doktor pakar, ambulans juga tidak cukup," katanya.