Hukum aduan rogol dan qazaf

Semata-mata mengadu bahawa dia di rogol tidak boleh di anggap qazaf, kerana antara syarat menjatuhkan hukuman qazaf, mestilah terdapat aduan daripada pihak yang di dakwa berzina (maqzuf). Maka dalam kes ini, pendakwa yang mendakwa dia dirogol tidak boleh di anggap qaazif قاذف kerana tidak terdapat pengaduan (دعوى) daripada pihak maqzuf. – fiqh islami wa adillatuh. J 6 m/s 84.

Oleh itu, perbicaraan dalam kes dakwaan rogol ini mestilah melalui perbicaraan biasa, iaitu البينة على المدعي واليمين على من أنكر, bukan berkehendakkan kepada empat orang saksi sebagaimana penyaksian kes zina dan qazaf. Ini kerana, dakwaan zina tertumpu kepada si penzina (dan tiada kes penganiayaan), sedangkan dakwaan rogol adalah untuk menuntut hak yang di rogol kerana melibatkan penganiayaan. Nas mengsabitkan saksi seramai empat orang hanyalah dalam kes zina dan qazaf. Dan kedua-duanya berkehendakkan empat orang saksi kerana ia tidak melibatkan penganiayaan kepada si pendakwa. Berlainan dengan dakwaan mencuri, merompak dan lain-lain yang memadai dua orang saksi atau bukti-bukti lain seperti sumpah, pengakuan dan qarinah kerana ia melibatkan penganiayaan bagi pihak pendakwa.

Jadi dalam kes aduan rogol ini, ia melibatkan dua perkara: 1: aduan dia di aniayai, jadi ia memerlukan kepada bayyinah biasa (saksi @ pengakuan @ qarinah). 2. tuduhan berzina kepada si perogol, jadi ia memerlukan kepada 4 orang saksi yang adil. Jadi aduan terhadap penganiayaan ini mesti di dahulukan kerana ia merupakan hak hamba, sedangkan dakwaan qazaf, merupakan hak allah dan hamba secara bersama, dan ulama khilaf samada ia hak hamba melebihi hak allah atau sebaliknya. Dalam masalah qadha’, hak hamba mesti di dahulukan berbanding hak allah secara mutlak.

Jadi berpandukan kepada ini, saya berpandangan, dalam kes aduan rogol ini tidak memerlukan kepada empat orang saksi sebagaimana dakwaan zina dan qazaf. Oleh itu, saya melihat terdapat perbezaan dalam kes “seseorang yang menuduh seseorang lain berzina dan si pendakwa tidak teraniaya” (kes qazaf) dan “seseorang yang menuduh orang lain berzina dan si pendakwa teraniaya” (dalam kes aduan rogol). Dalan kes pertama, yang menuduh bukan bertujuan menuntut hak pembalasan terhadap penganiayaan keatasnya, dan kes kedua si pendakwa ingin menuntut hak pembalasan tersebut.

Oleh itu, kes rogol ini boleh di buktikan melalui dua orang saksi atau pengakuan daripada si perogol, atau qarinah. Dan dalam kes ini, qarinah adalah perkara penting kerana ia melibatkan kesuburan syara’ itu sendiri. Si pendakwa mesti di periksa samada ia masih dara atau tidak, bila kali terakhir ia melakukan persetubuhan (melalui pemeriksaan doctor), melalui DNA (jika ia dianggap bukti di sisi islam) dan seumpamanya. Jika segala dakwaan bergantung kepada saksi tanpa melihat kepada qarinah, maka banyak kes penganiayaan akan berlaku sebagaimana kata Ibnu qayyim

من أهدر الأمارات والعلامات في الشرع بالكلية، فقد عطل كثيرا من الأحكام، ووضع كثيرا من الحقموق. –الطرق الحكمية صـ 100.

Untuk membuktikan qarinah, saya bersetuju dengan pendapat yang menyatakan harus tahanan reman dan mengirhab si tertuduh supaya mengaku. (Fikru al sami j 1 m/s 160.)

Terutamanya jika kita melihat, yang mengadu adalah seseorang yang pemalu dan seorang yang iffah, jauh untuk melakukan dakwaan kerana ia melibatkan maruah dan harganya dirinya sendiri. Berlainan jika yang mendakwa seorang yang sebaliknya. Dan yang menentukan semua ini adalah qadhi yang bijaksana. Oleh itu, taqnin lebih baik bersifat umum daripada di perincikan (kecuali dalam keadaan tertentu).

Jika terbukti ia di rogol, maka tertuduh samada di hokum sebat @ rejam kerana berzina, atau ta’zir kerana melakukan kekerasan dan paksaan (jika zina tidak dapat di sabitkan kerana ia memerlukan empat orang saksi.) atau di kenakan bayaran (mahar) kepada yang di rogol.

Jika dalam masa yang sama (masa pendakwaan rogol di jalankan), tertuduh membuat dakwaan bahawa ia di tuduh berzina (dakwaan qazaf), maka perbicaraan qazaf mesti di tangguhkan sehingga perbicaraan kes dakwaan rogol selesai. Ini kerana, syarat bagi yang di tuduh dalam kes qazaf mesti seorang yang muhsan. Dan ini tidak dapat di buktikan sehingga kes dakwaan rogol ini selesai. Jika dia di dapati bersalah dalam kes rogol ini (walaupun bukan melalui empat orang saksi), maka ia di anggap tidak muhsan dan aduan qazafnya tertolak. Jika tidak akan berlaku sebaliknya, iaitu jika dia di dapati tidak bersalah, kemudian ia membuat aduan qazaf, maka jika sabit kesalahan, orang yang di dakwa di rogol tersebut akan menerima hukuman qazaf (samada dengan dakwaan sarih atau ta’ridh).

Disini juga timbul beberapa perkara yang perlu di lihat secara lebih teliti, adakah Rasulullah saw menjatuhkan hukuman qazaf kepada Hilal b. Umayyah ketika dia menuduh isterinya berzina dengan Syarik b. Samha’? Jika di lihat kepada tuduhannya kepada isterinya, mungkin ia boleh di anggap sebagai lia’n (di syariatkan bersempena ayat yang di turunkan selepas peristiwa ini). Tetapi jika di lihat kepada tuduhan zina yang di lemparkan kepada syarik (secara tidak langsung, kerana aduan adalah antara hubungannya dan isterinya), sepatutnya ia di kenakan hokum had qazaf. Adakah di jatuhkan hukuman qazaf kepadanya? Saya tidak pernah menemui hadis yang menunjukkan ia di kenakan hukuman qazaf kerana tuduhan zina kepada syarik. Ini boleh di andaikan samada: kerana tidak ada aduan daripada syarik sendiri, atau kerana yang di tuduh secara langsung adalah isterinya, atau kerana tuduhan itu ialah kerana pencerobohan terhadap haknya (isterinya). Jadi berbeza dengan tuduhan dua orang yang berzina atau orang lain berzina tanpa ada kaitan dengan haknya.

Jika di lihat kepada andaian pertama, maka yang mendakwa di rogol tidak boleh di kenakan hukuman had qazaf, sebagaimana dalam kes ini, semata-mata aduan rogol tanpa ada empat saksi tidak boleh di kenakan hukuman had qazaf. Jika di lihat kepada andaian kedua, maka ia tidak boleh di jadikan hujah, kerana qazaf samada secara sarih atau ta’ridh. Jika di lihat kepada andaian ketiga, maka ia mempunyai persamaan dengan aduan rogol, iaitu kerana aduan terhadap pencerobohan haknya. Maka ia tidak memerlukan kepada 4 orang saksi sebagai mana aduan kes zina yang membawa kepada hukuman kerana ia melibatkan dakwaan dan pengaduan terhadap haknya sendiri. Maka andaian pertama dan ketiga lebih dekat kepada qias. Ini adalah qaedah sibr wa taqsim yang masyhur. Jika di sana terdapat dalil dan nas lain yang menyatakan Hilal bin Umayyah di jatuhkan hokuman qazaf kerana menuduh Syarik sama, maka sibru wa taqsim ini terbatal.

Oleh itu, pengtaqninan perlu di lihat daripada sudut yang banyak, supaya berada pertengahan antara ifrat dan tafrit. Atau dengan kata lain, supaya perempuan yang di rogol akan terbela, dan perempuan yang tidak bertanggungjawab tidak mudah melakukan tuduhan untuk pekenakan mana-mana lelaki yang tidak di sukai. Sebagaimana ijtihad sahabat tentang tasyrik antara adik beradik sebapa dan seibu sebapa adalah bercanggah dengan harfiyyah al-nas, tetapi ia bertepatan dengan maslahah syara’ dan maqasid syariyyah. Begitu juga kes ini, walaupun pada zahir nas menunjukkan bahawa si pendakwa rogol boleh menerima hokuman qazaf, tetapi ia juga mesti di lihat daripada maslahah syara’ dan maqasid syariyyah sendiri di dalam pengsyariatan qazaf.

Zaharuddin Mohamad

http://ulamakselangor.blogspot.com/2011/06/adakah-aduan-orang-yang-di-rogol-di.html