Isra’ dan Mikraj adalah merupakan satu mukjizat pengembaraan seorang Insan bertaraf Rasul untuk mengadap Tuhannya Qadhi Rabbul Jalil .Ulama’ berbeza pendapat dalam menentukan tarikh tepat berlakunya peristiwa agung ini. Al Imam An Nawawi dan Al Qurtubi mentarjihkan pandangan yang meletakkan tahun kelima An Nubuwwah sebagai tahun berlakunya Isra’ dan Mikraj.Sementara pandangan yang menyebut bahawa Isra’ dan Mikraj berlaku pada tanggal 27 Rejab tahun kesepuluh An Nubuwwah pula ditarjih oleh Al A’llaamah Asy Syeikh Mansur Puri .


و الله أعلم بالصواب

Apa yang menarik , ( menurut pandangan yang kedua ) peristiwa Isra’ dan Mikraj ini berlaku pada tahun yang dikenali sebagai tahun dukacita . ( عام الحزن)

Tahun Dukacita ( عام الحزن )

Ada 3 peristiwa penting yang mengheret Baginda Rasul saw. ke kancah rasa dukacita yang sangat mencengkam jiwa dan perasaan.

Kewafatan Saidatina Khadijah Rha.
Kematian Abu Talib.
Peningkatan kadar tekanan dan ancaman.


Kewafatan Saidatina Khadijah Rha.

Seorang tokoh yang sangat penting dalam hidup baginda saw. Bukan sahaja sebagai seorang Isteri tetapi juga sebagai individu yang bertanggungjawab membiayai perjuangan Baginda saw.Khadijah Rha. adalah orang yang pertama beriman kepada Allah dan RasulNya saw. di saat orang lain kufur kepadanya , yang menghulurkan seluruh hartanya disaat orang lain memboikot perjuangan Rasulullah saw. , yang menenangkan perasaan baginda saw. di saat orang lain menyakitinya.Tokoh yang disegani oleh seluruh penduduk Quraisy justeru beliau adalah seorang tokoh hartawan terkemuka di kalangan mereka. Pastinya pemergian Saidatina Khadijah Rha. sangat dirasai oleh Baginda saw.

Kematian Abu Talib .

Tidak syak , sejarah sangat menyedari kehadhiran Abu Talib yang bertanggungjawab menjaga dan memelihara Nabi saw. sejak kewafatan datuknya , Abdul Muttalib .
Bahkan Abu Talib selaku bapa saudaranya turut memainkan peranan penting dalam melindungi Rasulullah saw. sepanjang detik – detik cemas dan getir berhadapan dengan ancaman dan ugutan kuffar Quraisy.Namun tokoh besar ini juga dimatikan wataknya di awal kisah perjuangan baginda Rasul saw. sementelah pula , matinya Abu Talib tanpa Iman . ( menurut pandangan Ahli Sunnah wal Jamaah .)Tentu sahaja , kehilangan watak Abu Talib yang terlalu banyak jasanya terhadap Rasulullah saw. tanpa sempat beriman , sangat memilukan perasaan baginda saw.


Peningkatan Ancaman Musuh .

Sering kali perancangan kuffar Quraisy untuk memerangkap dan menyakiti Rasulullah saw. tergendala ekoran kehadhiran 2 tokoh besar dan terbilang dalam hidup Baginda Rasul saw.Sejurus kedua – dua tokoh tersebut meninggal dunia , ianya menjadi kesempatan terbaik buat kuffar Quraisy untuk melipat gandakan tekanan dan asakan mereka kearah perjuangan yang didokong oleh Rasulullah saw.Penentangan yang dihadapi oleh Rasulullah saw itu adalah penentangan yang dilakukan oleh kaum kerabat dan sanak saudara baginda saw. sendiri. Pastinya fenomena ini menghiris perasaan Baginda saw. , sedang sebelumnya masyarakat Quraisy sangat mengenali keperibadian Baginda saw. sebagai insan al Amin .

Percubaan Baginda saw. menembusi benteng daerah sendiri.

Memandangkan Islam agama yang benar , di tolak mentah – mentah oleh mereka yang berada di dalam “UPU” dan “DUN” baginda saw. sendiri , Baginda saw. mengambil langkah membawa Islam ini ke Taif dengan harapan penduduk Taif boleh menerima Islam jika ianya di tolak oleh penduduk Makkah.Ternyata , SB Makkah lebih cepat bertindak dengan melaporkan pemergian Nabi saw. ke Taif kepada pembesar – pembesar Taif. Laporan negative dan tidak benar yang dibawa itu , membuatkan pembesar Taif “menyambut” kedatangan Nabi saw. dengan batu dan kata nista yang dilemparkan kearah baginda saw. oleh pemuda – pemuda tahan lasak yang telah diupah .

Munajat Baginda saw.

Baginda saw. terpaksa pulang kembali ke Kota Makkah setelah mendapat bantahan sengit dari pembesar dan penduduk Taif. Kecederaan yang dialami oleh Baginda saw. menambah penderitaan dan kesengsaraan yang rasai dalam memimpin perjuangan suci ini.
Pertengahan jalan , Baginda Rasul saw. berhenti rehat buat seketika di sebuah kebun milik Utbah dan Syaibah bin Rabiia’h. Rasulullah saw. menadah tangan lantas bermunajat dengan hati baginda yang hiba .[1]

اللهم إليك أشكو ضعف قوتي و قلة حيلتي و هواني على الناس يا أرحم الراحمين أنت رب المستضعفين و أنت ربي . إلى من تكلني ؟ إلي بعيد يتجهمني ؟ أم إلى عدو ملكته أمري ؟ إن لم يكن بك علي غضب فلا أبالي و لكن عافيتك هي أوسع لي . أعوذ بنور وجهك الذي أشرقت له الظلمات.

Ya Allah , kepadaMu aku mengadu betapa lemahnya kekuatanku dan betapa sedikitnya helah upayaku dan betapa hinanya aku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang maha Penyayang mengatasi segala yang menyayangi ,
Engkaulah tuhan orang – orang yang lemah dan Engkaulah tuhanku. Kepada siapakah Engkau serahkan diriku ini ?
kepada orang jauh yang senantiasa memerangiku atau kepada musuh yang mahu menangkapku ? Jika tiada kemurkaanMu terhadap diriku ini , nescaya aku tidak peduli ( akan ku teruskan perjuangan ini )
Akan tetapi naungan kesejahteraanMu terlebih aku harapkan. Aku berlindung dengan cahaya keredhaanMu yang telah menerangi kegelapan.

Al Marhum Syeikhuna Sya’rawi al Mutawwalli pernah menyebut , bahawa doa ini telah didengar dan dijawab oleh Allah swt. ketika beliau menafsirkan ayat pertama dari surah Al Isra’ :[2]

إنه هو السميع البصير

Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Melihat.

Ada riwayat menyebut bagaimana Allah menghantar Malaikat yang menjaga bukit datang mengadap Nabi saw. untuk memohon izin bagi menghempaskan Bukit Taif ke atas seluruh penduduknya yang telah menyakitkan Rasulullah saw. Namun Nabi saw. tegas menjawab :


و الله بل أرجوا أن أخرج من أصلابهم من يعبد الله وحدة .

Demi Allah , bahkan apa yang aku harapkan ialah bakal lahir dari sulbi – sulbi mereka , generasi yang mengabdikan diri kepada Allah tuhan yang Esa.

Demikianlah jauhnya pandangan dakwah Nabi saw. demi masa depan agama suci ini. Ternyata kebangkitan generasi muda telah mewarnai perjuangan Islam yang telah diasaskan oleh Rasulullah saw. ini . Sabda Rasulullah saw :

أوصيكم بالشباب خيرا . فإنهم أرق أفئدة لقد بعثني الله بالحنيفية السمحة فحالفني الشباب و خالفني الشيوخ .

Aku ingatkan kamu mengenai pemuda agar diperlakukan dengan sebaiknya. Sesungguhnya mereka memiliki jiwa yang mudah dibentuk. Sesungguhnya Allah telah membangkitkan aku dengan agama yang benar maka pemuda telah membantuku sementara yang tua sering menyanggahiku.

Perjuangan diselubungi Nusrah.

Saat menanggung rasa penuh dukacita , menghadapi segala musibah yang menimpa dan karenah golongan kuffar , Nabi saw. diundang oleh Allah swt. untuk naik mengadapnya guna dipamerkan kepada baginda saw. tanda – tanda keagongan Allah swt.

سبحن الذي أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصا الذي بركنا حوله لنريه من ءاياتنا إنه هو السميع البصير .

Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
(Surah Al Israa’ : 1)

Tanda – tanda keagongan Allah swt. justeru satu bukti bahawa Allah swt. adalah Tuhan yang maha Perkasa lagi Gagah . Tiada tolok bandingnya . Tiada siapa yang mampu mengalahkannya. Itulah Allah swt. yang senantiasa menaungi perjuangan Islam ini.


Maka tiada apa lagi yang mengembirakan Nabi saw. setelah menghadapi segala penderitaan dan kesengsaraan di pentas perjuangan , melainkan baginda saw. melihat sendiri bagaimana keagongan Ilahi .Ianya menjadi Nusrah ( pertolongan ) buat Nabi saw. dan juga kepada mereka yang menjejaki Manhaj an Nabawi ini .

Biarpun musuh sering menguasai keadaan dan pula senantiasa mempunyai kesempatan untuk menyakiti perasaan dan tubuh badan pejuang – pejuang Islam , Allah pasti sahaja tidak akan mensia – siakan mereka .Menghayati tanda keagongan Allah swt. menjadikan pejuang Islam beroleh keyakinan bahawa perjuangan Islam ini bersandarkan satu kekuatan yang tidak mungkin dapat ditewaskan .Fenomena inilah membuatkan Nabi saw. dan seluruh pejuang Islam di sepanjang zaman tidak lagi berasa gentar terhadap ancaman musuh , biar setinggi mana kuasa mereka , selebar mana pengaruh mereka dan sebanyak mana dana mereka , ternyata mereka teramat kerdil dan hina di sisi Allah swt.


Firman Allah swt :

و لا تهنوا في ابتغاء القوم إن تكونوا تألمون فإنهم يألمون كما تألمون و ترجون من الله ما لا يرجون .

Dan janganlah kamu berasa hina menghadapi golongan itu ( musuh kamu ) , jika kamu berasa sakit , sesungguhnya mereka juga berasa sakit sebagaimana kamu berasa sakit . sedang kamu mengharapkan ( redho ) Allah , suatu yang tidak diharapkan oleh mereka .

[1] Rujuk Sirah An Nabawiyyah Ibnu Hisyam . Hal. 48 . Juz kedua. Cetakan DarulJiil Beirut. [2] Saya masih ingat ketika mendengar ceramah Isra’ dan Mikraj yang disampaikan oleh Asy Syeikh Al Marhum Sya’rawi al Mutawwalli di Mesir satu ketika dahulu.

Nukilan Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi