Dua ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Wisma Persekutuan, Lopeng berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa oleh Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.Dua pengadu itu ialah Setiausaha Angkatan Muda (AMK) KeADILan Sarawak merangkap Naib Ketua Cawangan Miri Zulhaida Suboh dan Setiausaha Ranting Piasau, Chong Kon Fat selaku.Aduan itu dibuat kepada Ketua Unit Siasatan SPRM Miri, Bartholomew Dangang David jam 11 pagi tadi.

Menurut Zulhaida, aduan itu bagi menggesa suruhanjaya berkenaan menyiasat ‘empayar’ perniagaan Taib dan keluarganya yang didakwa bernilai ‘lebih RM3 bilion’ berdasarkan apa yang dilaporkan di blog sarawakreport.org.
“Kami membuat aduan berhubung isu salah guna kuasa oleh Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Taib Mahmud yang memiliki kemewahan di luar negara dianggarkan melebihi ratusan juta seperti yang telah didedahkan dilaman web sarawakreport.org,” katanya ketika ditemui Sarawak Update selepas membuat aduan kira-kira sejam.Hadir sama menemani ialah lima lagi penyokong PKR Miri.

Dalam pada itu, www.sarawakreport.org mendakwa Taib dan keluarganya mempunyai empayar perniagaan antarabangsa, termasuk memiliki hotel mewah di Australia dan hartanah komersial di tapak utama di Kanada melalui cara yang disangsikan.
Blog yang dikendalikan oleh “rakyat prihatin’ itu turut mendakwa 85 peratus saham CMS dimiliki oleh Taib dan keluarganya serta rakan-rakan karib mereka ketika syarikat berkaitan kerajaan itu diswastakan yang menimbulkan dakwaan salah guna kuasa.Di samping itu, laman tersebut mempersoalkan pembabitan keluarga Taib dalam konglomerate terbesar negeri itu – Cahaya Mata Sarawak.Salah seorang anggota PKR ketika ditemui di perkarangan SPRM Miri berkata, mereka hanya mencuba nasib untuk membuat aduan tersebut.

“Kami sedar peluang untuk laporan itu disiasat amat tipis.., kami merasakan aduan berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa itu tidak akan disiasat sampai bila-bila. Namun lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa,” katanya.