Ramai yang menarik nafas lega apabila diumumkan bahawa projek terbesar dan paling kontroversi di Malaysia - empangan Bakun - selepas pembinaan selama 16 tahun - akhirnya akan siap sepenuhnya Disember ini.Bagaimanapun, masalah yang membelenggui empangan konkrit kedua terbesar di dunia itu masih jauh daripada selesai.
Sebaliknya, kemelut itu dilihat mencetuskan ketegangan antara kerajaan negeri Sarawak dan kerajaan persekutuan dalam rundingan tarif elektrik yang bakal dikenakan. Sesetengah pihak pihak bimbang kerajaan negeri akan menggunakan kuasanya ke atas empangan itu bagi menuntut tarif yang lebih rendah.Tetapi Sarawak Hidro Bhd milik kementerian kewangan - pemilik penuh empangan itu - mengetepikan spekulasi itu.Menurut laporan media, rundingan pembelian tenaga elektrik antara Sarawak Hidro dan syarikat tenaga yang dimiliki kerajaan Sarawak Energy Berhad telah menemui jalan buntu.Sarawak Energy dikatakan cuba mendapatkan tarif yang lebih murah dalam lingkungan antara enam tujuh sen bagi setiap kWh - jumlah yang lebih rendah berbanding kadar 10 hingga 15 sen per kWh yang dituntut oleh Sarawak Hidro bagi menampung perbelanjaan kos projek empangan itu yang telah berlebihan.

Turut mengintai tarif yang rendah itu adalah dua syarikat melebur logam kerana industri mereka menggunakan tenaga eletrik yang tinggi. Syarikat berkenaan adalah Sarawak Aluminium Company - syarikat erjasama antara Cahaya Mata Sarawak Berhad (CMS) dengan syarikat Australia Rio Tinto Aluminium - dan Smelter Asia Sdn Bhd iaitu syarikat jerjasama antara GIIG Holdings Sdn Bhd dan Aluminium Corp of China Ltd.
Kedua-dua syarikat itu akan menjadi pembeli utama kuasa elektrik yang dihasilkan oleh empangan itu yang boleh menghasilkan sehingga 2,400MW. Tarif lebih murah akan memastikan kos lebih rendah untuk syarikat tersebut dan menjamin keuntungan yang lebih. Yang menariknya, CMS adalah konglomerat milik keluarga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Manakala GIIG Holdings Sdn Bhd adalah syarikat yang dikuasai oleh jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang muncul sebagai usahawan terulung semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.Satu lagi isu yang menjadi isu 'duri dalam daging' antara kerajaan negeri dan persekutuan membabitkan pemilikan Empangan Bakun.
Kerajaan negeri Sarawak ingin membeli empangan itu pada harga RM6 billion, tetapi Putrajaya pula menuntut RM8 billion sebelum mahu melepaskan hak itu.
Justeru, apabila Sarawak Hidro secara terbuka meminta kerajaan negeri mengisi air di empangan itu secepat mungkin bagi mengurangkan kos yang terus meningkat, spekulasi timbul yang Petrajaya menggunakan permit itu sebagai cip tawar-menawarnya berhubung harga tarif.Menurut Sarawak Hidro, empangan itu telah memenuhi beberapa keperluan untuk ia dipenuhi dengan air sejak April tahun ini dan telah mengemukakan cadangannya kepada Kementerian Utiliti Awam Sarawak yang selaras dengan keputusan kerajaan negeri.Petrajaya belum memberikan sebarang reaksi tetapi masa pula dilaporkan semakin suntuk untuk Putrajaya.

.....................................................................................

Dalam perkembangan berkaitan;Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Najib seolah-olah tidak kisah dengan kemungkinan wang rakyat terus dibazirkan untuk projek itu, tetapi bersungguh-sungguh mahu menarik balik subsidi minyak dan gula sedangkan sasaran penjimatan perbelanjaan kerajaan adalah terlalu kecil berbanding dengan wang rakyat yang digunakan untuk membiayai projek Empangan Bakun setakat ini.

Katanya, sasaran penjimatan RM750 juta dari potongan subsidi hanyalah 10% dari jumlah kos keseluruhan projek Empangan Bakun.Menurutnya, projek ini juga telah menyebabkan anggaran kerugian sejumlah RM450 juta yang dialami oleh Sime Darby bagi tahun kewangan 2010, di samping pampasan RM900 juta yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, jumlah keseluruhan kerugian dan pampasan kepada Sime Darby sahaja boleh membiayai pelbagai program kebajikan rakyat yang sepatutnya dijalankan apabila subsidi ditarik balik, untuk meringankan bebanan rakyat.

“Minggu ini, kita dikejutkan dengan berita projek ini akan mengalami kenaikan kos mendadak disebabkan oleh kelewatan (bukan perkara baru sejak projek dilaksanakan).
Saya memandang dengan serius laporan-laporan mutakhir yang menunjukkan kelewatan projek Empangan Bakun kerana begitu banyak wang rakyat telah disalurkan ke projek ini sejak sedekad yang lalu,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan laporan, katanya jumlah kos keseluruhan dijangkakan akan meningkat akibat beberapa kelewatan projek.Menurutnya lagi, kos setakat ini sudah pun mencecah RM7.3 billion dan sebahagian besarnya dibiayai oleh wang rakyat melalui pinjaman berjumlah RM5.75 billion yang diberikan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP).

Katanya, kedua-dua pinjaman itu juga dijamin oleh Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, laporan-laporan juga memetik sumber dalaman yang menyebut perbezaan pendapat di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak mengenai harga apabila projek ini diserahkan kepada kerajaan negeri.Perbezaan itu, ujarnya memungkinkan Kerajaan Persekutuan terpaksa menanggung kerugian yang dianggarkan berjumlah RM2 billion apabila projek diserahkan kelak.“Siapa yang akan membayar kerugian yang dianggarkan berjumlah RM2 billion ini?

“Adakah Perdana Menteri akan secara senyap-senyap mengarahkan KWSP dan KWAP melupuskan sebahagian dari RM5.75 billion hutang yang diberikan kepada projek Empangan Bakun, untuk menutup kerugian itu?” soalnya.Katanya lagi, Empangan Bakun adalah lambang layanan Barisan Nasional yang berbeza-beza kepada rakyat dan syarikat besar dalam menentukan subsidi.Menurutnya, di mata Barisan Nasional, 20 sen subsidi bagi setiap kilogram gula yang dinikmati rakyat adalah beban yang cukup besar kepada pentadbirannya, tetapi pada masa yang sama ia menghadiahkan subsidi korporat berbillion ringgit kepada syarikat besar tanpa rasa bersalah sedikit pun.

“Saya menyeru Perdana Menteri mengambil pertanggungjawaban dan berterus-terang dengan rakyat mengenai masalah kewangan projek Empangan Bakun dan kesannya kepada wang rakyat.“Menteri yang dipertanggungjawabkan menyelia projek juga perlu berterus-terang dan menerangkan kepada rakyat kenapa anggaran kerugian RM2 billion itu perlu ditanggung oleh rakyat,” tegasnya.
Tambahnya, rakyat berhak tahu terutamanya apabila rakyat diminta mengurangkan beban kewangan kerajaan, maka subsidi korporat juga perlu dihentikan.