Bermuafakat Menjunjung Amanah Rakyat merupakan tema yang paling releven dan tepat untuk diperingatkan dalam keadaan suasana politik hari ini. Kepada semua ahli-ahli Pakatan Rakyat mestilah sentiasa beringat bahawa dalam konteks demokrasi berparlimen di Malaysia ini, rakyat adalah majikan kepada pemimpin. Mereka mempunyai kuasa yang besar untuk menentukan pilihan yang terbaik untuk masa depan negara dan rakyat.

Pakatan ini yang dibina atas semangat berteraskan perjuangan rakyat haruslah lebih arif dan lebih perihatin dengan hati dan jiwa mereka. Jelas membuktikan dalam pilihanraya yang lalu rakyat menghakimi dengan adil sehingga mampu merubah komposisi dan demografi politik hari ini. Oleh sebab yang demikian, kita tidak seharusnya meletakkan kepentingan diri melebihi daripada kepentingan agama, negara dan rakyat.
Jika ada diantara kita meletakkan kepentingan peribadi, ghairah mencapai puncak kuasa, lapar dengan harta benda, terpesona dengan kemuliaan pangkat dan kehormatan, maka saya amat mengharapkan agar kita dapat memperbetulkan niat perjuangan ini.

PAS sudah acap kali mengulangi pendirian parti untuk terus memperkukuhkan Pakatan Rakyat selagimana ia berada atas landasan yang benar dan betul. Malah, PAS juga tidak teragak-agak untuk mengadili mereka yang mengkhianati perjuangan ini. Kita harus ingat sebagai seorang Muslim, kepimpinan adalah satu tanggungjawab yang cukup berat untuk digalas dan ia hanya layak dipikul oleh mereka yang benar-benar kuat dan beramanah.Medan pilihanraya di Malaysia menyaksikan bahawa survival PAS dalam ukuran politik turut disokong dan didokong oleh semangat muafakat dan kerjasama parti. Meskipun ia terjalin dalam kerangka ideologi dan fahaman politik yang berbeza. PAS telah bersetuju dalam pembentukan dasar Pakatan Rakyat yang pernah dideklarasikan di bumi Selangor pada 19 Disember lalu. Titik persefahaman dan pertemuan inilah yang mengikat muafakat Pakatan Rakyat dan mengemudi amanah rakyat secara bersama.



Mentadbir Dengan Penuh Akauntabiliti dan Amanah

Sehubungan dengan itu, Islam menitik beratkan persoalan amanah dan tanggungjawab. Amanah yang diberikan oleh rakyat kepada kita mesti ditunaikan dengan baik. Sebagai pemimpin Muslim, kita bertanggungjawab kepada Allah, Rasulullah SAW dan hari akhirat kelak. Begitu juga kepada pemimpin non Muslim, mereka juga mestilah berakauntabiliti kepada parti, maruah diri, pengundi dan prinsip perjuangan.

Allah SWT berfirman, “Mereka yang Kami berikan kekuasaan di muka bumi ini nescaya mereka mendirikan solat dan mengeluarkan zakat, mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara mungkar” (Surah Al-Hajj : 41). Ayat yang dirakamkan dalam Al-Qur’an ini menunjukkan bahawa mereka yang berkuasa mempunyai obligasi terhadap Allah, rakyat dan menguatkuasakan perintah-perintah wajib yang perlu digalas dan dipikul oleh mereka yang mempunyai kuasa di dunia khususnya di Malaysia.

Pemimpin dan rakyat mestilah bersabar dalam mengemudi perubahan ini. Membina Rom bukan hanya mengambil masa satu hari. Perjalanan dalam memperjuangkan keadilan sejagat ini cukup panjang dan ia dipenuhi dengan mehnah dan tribulasi yang cukup mencabar sehingga jiwa-jiwa ini tergugat dengan keindahan dunia yang sementara.
Allah SWT berfirman, “Manusia dijadikan dengan tabiat-tabiatnya yang terburu-buru (Isti’jal)” (Surah Al-Anbiya’ : 37)

Impian kita untuk menguasai beberapa negeri dan keseluruhan Malaysia umumnya, perlulah dilakukan dengan cermat dan penuh hemah. Janganlah kita terlalu terburu-buru sehingga kita mengabaikan pekerja-pekerja bawahan parti, tidak menganalisa persekitaran politik dan tidak teliti dalam menaakul kebarangkalian masa depan survival Pakatan Rakyat. Kita mesti sentiasa bersedia dari segenap aspek samada kelancaran pentadbiran kerajaan, kebijaksanaan berijtihad dalam politik dan kewibawaan pemimpin.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mencadangkan agar semua penggerak parti mengamalkan budaya kerja ini;

1. ‘Ubudiyyah

Bagi seorang Muslim, kita mesti memperbetulkan niat bahawa kepimpinan ini bukanlah satu kemuliaan tetapi ia satu tanggungjawab yang cukup berat. Sifat tawaddhu’ atau merendah diri perlu sentiasa tersemat dalam diri untuk mengelakkan rasa bangga diri sehingga wujud sikap sombong dan bongkak dalam diri.

2. Mas’uliyyah

Setiap tindakan, polisi atau strategi yang kita lakukan adalah liabiliti kepada seseorang pemimpin. Dalam prinsip demokrasi di Malaysia, rakyat bebas menilai tanpa prejudis setiap perlakuan kita dan akan membuat keputusan sewajarnya dalam kotak undi kelak.

3. Mahabbah


Hormat menghormati, bertolak ansur dan berlapang dada perlu ada dalam jiwa setiap pendukung dan pimpinan parti. Memang benar perselisihan pendapat, pertikaman lidah dan bersangka buruk itu wujud dalam Pakatan Rakyat khususnya di negeri Selangor. Namun, ia harus diurus dengan berhikmah. Kita berusaha untuk mencari titik persefahaman antara satu sama lain dan bertoleransi dalam hal-hal yang tidak disepakati. Setiap dasar parti dalam komponen Pakatan Rakyat harus diterima dengan sikap keterbukaan dan sentiasa saling faham memahami.

4. Iltizam

Komitmen untuk mewujudkan sebuah negara yang mengamalkan prinsip keadilan dan ketelusan harus dilipatgandakan. Setiap program-program parti, kaderisasi, pertambahan pemilih dan kebajikan rakyat wajib dilakukan dengan penuh kesungguhan. Saya ingin menegaskan disini terutamanya kepada teman-teman seperjuangan PAS, setiap cawangan dan kawasan di Selangor harus berusaha gigih mendekati dan menambahkan keyakinan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Kita percaya bahawa politik bukan hanya permainan minda tapi ia mesti memberikan sentuhan hati dan jiwa nurani rakyat.

Demikianlah empat elemen budaya kerja yang harus dipraktikkan disemua peringkat.
Ayuh bersama PAS,PKR,DAP dan SNAP Kearah Negeri Untuk Rakyat dan Berkebajikan.

Tulisan asal Ustaz Nasharudin Md Isa