MIRI: Penduduk rumah panjang Buduk Nur dan Long Langai hampa apabila saluran paip ke rumah mereka mengeluarkan air yang berlumpur dan berwarna coklat.

HAMPA: Pemandangan atas kawasan Buduk Nur.


Mereka mengesyaki ada yang tidak kena dengan projek yang menelan kos bernilai RM2 juta itu.Penduduk kedua-dua rumah panjang berkenaan yang rata-ratanya terdiri daripada masyarakat Lun Bawang mengesyaki sesuatu yang tidak kena dengan projek bekalan air berawatan bernilai RM2 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

“Peduduk di rumah panjang semuanya tidak sabar untuk menggunakan bekalan air yang bersih daripada projek berkenaan, tetapi sekarang mereka tidak pasti sama ada air tersebut selamat untuk digunakan atau tidak,” kata seorang penduduk rumah panjang itu, Paren Ibuh dalam kenyataan akhbarnya di sini, semalam.

Paren berkata, walaupun projek tersebut sudah disiapkan mengikut masa yang ditetapkan, namun menurutnya air tidak keluar dari paip kerana ketiadaan bahan api untuk menghidupkan set jana kuasa bagi mengepam air ke setiap rumah.
Beliau juga tidak terkejut apabila penduduk di rumah panjang berkenaan turut diminta membayar wang dalam amaun tertentu bagi membolehkan set jana kuasa dihidupkan.
Paren merasakan ada sesuatu yang tidak kena bersangkutan projek yang menelan kos yang tinggi itu dan meminta pihak berkaitan menjalankan siasatan dengan segera.