Janji, kuasa dan rasuah


Dr Jeniri Amir

Politik berkempen dalam puisi tetapi memerintah dalam prosa, kata Mario Cuomo, Gobernor New York. Maksudnya, ketika berkempen ahli politik bisa sahaja menjanjikan bulan dan bintang, tetapi tidak semudah itu untuk menunaikan janji. Apabila sudah mengenggam kuasa, mereka mungkin sahaja tidak menunaikan janji, tidak kira di pihak pemerintah atau pembangkang.
Jika tidak percaya, putarkan kembali segala ucapan dan ceramah politik mereka kira-kira lima tahun lalu? Telitikan juga manifesto pilihan raya mereka. Sejauh manakah kandungan ucapan atau manifesto dikotakan. Saya berani mengatakan bahawa sebahagian janji berkenaan gagal ditunaikan. Tetapi, bagi mereka, tidak mengotakan janji tidak menjadi masalah besar, kerana seolah-olah satu daripada sikap atau ciri yang perlu ada pada ahli politik ialah pandai berjanji, dan pandai tidak mengotakan janji.
Janji bagi sebahagian daripada mereka ini bertujuan untuk dilanggar atau tidak ditunaikan. Mereka lupa akan peribahasa Melayu, kerbau diikat pada hidungnya, manusia diikat pada janjinya. Kuasa begitu memabukkan. Mereka yang mabuk alkohol dapat pulih, tetapi tidak demikian bagi pemimpin politik yang mabuk kuasa. Mereka yang mabuk kuasa lupa akan prinsip dan integriti. Jadi, hubaya-hubaya dengan pemimpin politik yang bercakap tentang integriti dan pentingnya rasuah dihapuskan. Mungkin sahaja pemimpin yang bercakap tentang rasuah dan integriti itu tidak memiliki integriti dan sebenarnya mengamalkan rasuah. Sikap pemimpin sedemikian samalah seperti ayam yang berkokok berderai-derai, tetapi ekor bergelumang dengan tahi.
Malangnya, ada pemimpin lain yang sanggup mempertahankan pemimpin sedemikian meskipun hujah yang diberi langsung tidak masuk akal sihat melainkan menggambarkan kejelekan peribadi pemimpin terbabit. Pemimpin memang mudah tergoda dan terpesona dengan kuasa. Pemimpin yang mempunyai terlalu banyak kuasa, sukar ditegur kerana orang di sekitarnya takut untuk menegur atau menasihatinya, apatah lagi jika masa depan ahli politik berkenaan juga bergantung kepada pemimpin yang berkuasa itu. Benarlah kata Lord Acton, ‘’power tends to corrupt and absolute power corrupts absolutely.’’

Malangnya, terdapat pemimpin yang bagai tidak sedar dengan penyelewengan dan salah guna kuasa yang dilakukan mereka. Mungkin dia menganggap rakyat juga buta dan tidak tahu apa yang dilakukannya. Tambah meyakinkannya ialah setiap kali pilihan raya dia menang. Kerusi yang diduduki bukan untuk memperkaya diri dan keluarga. Amalan kronisme dan nepotisme adalah barah yang perlu dibersihkan daripada tubuh ahli politik. Pemimpin lupa bahawa yang menjulang mereka ke puncak kuasa ialah rakyat dan pengundi. Tetapi sering apabila sudah berkuasa, mereka lupa akan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin. Ada yang sibuk memperkaya diri dan keluarga dan membiarkan rakyat miskin dan papa kedana. Pemimpin politik sebenarnya lupa bahawa yang berkuasa ialah rakyat yang memilih mereka dalam pilihan raya.
Pengaruh pemimpin politik sebenarnya tidak mutlak kerana mereka masih lagi bergantung kepada kuasa pengundi dan rakyat. Itulah sebabnya ketika kempen ada yang sanggup turun berjumpa dengan rakyat, tanpa sedikit pun rasa malu dan rasa bersalah, meraih undi, dan terus berjanji untuk membela nasib mereka. Pengundi dan rakyat diumpan dengan pelbagai janji termasuk projek pembangunan. Rakyat miskin dan tidak berpelajaran mudah dimanipulasi, diancam dan diperdaya melalui pelbagai strategi kempen dan komunikasi politik oleh tukang kempen yang tahu akan kelemahan golongan pinggiran ini. Mereka memanipulaskan pengundi melalui maklumat yang tidak ada pada pengundi. Mereka misalnya menggunakan hujah-hujah palsu dengan mengatakan bahawa demi keselamatan dan keharmonian, peraturan tertentu perlu dilaksanakan, seolah-olah segala undang-undang yang sedia ada seperti Akta Kefitanahan, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia dan lain-lain itu tidak memadai. Jadi, mereka berhujah bahawa tindakan kerajaan memperkenalkan peraturan dan undang-undang lain itu adalah wajar demi melindungi kepentingan rakyat. Begitu mudahkah rakyat menerima hujah lemah mereka itu?

Begitu tidak selamatkah kita sehingga perlu undang-undang dan peraturan baharu untuk menyekat kebebasan dan pergerakan rakyat? Rakyat diberitahu bahawa subsidi perlu dikurangkan kerana kerajaan perlu menjimatkan duit untuk pembangunan jika tidak negara akan muflis. Tetapi, rakyat bertanya benarkan wang itu dapat diselamatkan? Bagaimana dengan amalan rasuah, kebocoran dan keciciran yang banyak; sudahkah disekat untuk menyelamatkan wang rakyat? Dua orang sarjana sains politik Amerika Syarikat, Daniel Hellinger dan Dennis R. Judd Brooks menyifatkan proses demokrasi seperti ini sebagai topeng yang digunakan untuk mendapatkan dan mengukuhkan kuasa sehingga berlaku apa yang dikenali sebagai democratic façade dalam sistem demokrasi. Golongan elit politik yang mempunyai segala kemudahan dan sumber ini menggunakan segala saluran dan strategi propaganda untuk menarik perhatian pengundi. Mereka sanggup menyebarkan fitnah dan membunuh perwatakan lawan semata-mata untuk meraih kemenangan. Malah, bukan menghairankan berlaku pertarungan sesama sendiri di dalam parti. Terdapat pemimpin yang sanggup membunuh masa depan pemimpin politik lain kerana tidak suka dengan pemimpin berkenaan. Ia sanggup memasang calon Bebas untuk memecah undi atau mengalahkan pemimpin berkenaan. Jika tidak percaya, baca balik buku sejarah pilihan raya di negara ini.

Dalam konteks demikianlah saya fikir peringatan oleh Pengerusi Parisan Nasional Pusat Datuk Seri Najib Tun Razak tentang empat penyakit yang sering melanda parti yang sudah lama berkuasa diperkatakan. Empat penyakit tersebut ialah delusion atau khayalan, amnesia atau kelupaan, inertia atau kejumudan dan arrogance atau keangkuhan. Kata beliau: “Pertama, penyakit delusion kerana berasa khayal dan terawang-awang bahawa sokongan yang diterima daripada rakyat akan berterusan; kedua, penyakit amnesia kerana sudah terlupa akan sebab musabab atau tujuan perjuangan asal; ketiga pula, penyakit inertia yang terjadi apabila enggan membuat pembaharuan dan perubahan. Seterusnya pula, yang keempat adalah penyakit arrogance yang mencerminkan sikap tidak boleh menerima teguran ramai. Sesungguhnya, semua penyakit tersebut terutamanya keangkuhan akan hanya menyebabkan rakyat benci dan merasa menyampah.”

Jadi, parti dan pemimpin politik yang bakal bertanding dalam pilihan raya akan datang perlu mengubati penyakit yang disebutkan itu. Jika penyakit berkenaan tidak segera diubati, jangan hairan, seperti kata Najib, rasa sayang akan bertukar menjadi benci dan sokongan menjadi penentangan. Kegagalan BN menguasai dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu turut berpunca daripada penyakit dan isu yang dibincangkan ini. Yang penting, pemimpin politik jangan beranggapan rakyat tolol untuk tidak tahu apa yang mereka lakukan. Jangan fikir pengundi dapat digula-gula dengan janji dan kata-kata manis. Rakyat memerlukan pemimpin politik yang bijaksanana, bersih, komited dalam tugas, dan memiliki sikap empati terhadap pengundi. Rakyat tidak mahu pemimpin politik yang suka berlagak, menunjuk-nunjuk kekayaan dan kuasa, enggan menerima teguran dan kritikan dan hanya bermain politik. - Penulis ialah penganalisis politik dan penulis prolifik.
PS: Jadikan artikal diatas sebagai panduan dan renungan kita semua. Kepada pemimpin2 PAKATAN RAKYAT hendaklah bersedia untuk mengambil alih kuasa dari kerajaan BN. Janganlah kita bersikap seperti yang dinyatakan diatas. Rakyat perlukan pemimpin yang adil,berjiwa rakyat dan mereka yang menunaikan janji2 yang telah mereka janjikan. Jadi ingatlah jangan suka berjanji yang bukan2 terhadap rakyat biarlah janji tersebut dapat ditunaikan. Kita doakan agar pemimpin PAKATAN RAKYAT tidak serupa macam pemimpin BN yang rasuah dan menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri sendiri. Bah mari kita sedia mengubah dari kerajaan BN kepada kerajaan PAS dan PAKATAN RAKYAT.