MIRI— Nasib lebih 400 pelajar Sekolah Menengah (SM) Sains Miri di Bakam sama ada akan dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinjar di Lapok, Baram atau sebaliknya akan diketahui dalam tempoh beberapa hari.Setakat ini, hasil tinjauan pihak sekolah mendapati lebih 90 peratus ibu bapa membantah keras cadangan itu dan mahu cadangan itu ditukar ke sekolah lain berhampiran Miri.Seorang jurucakap sekolah yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, setakat ini cadangan itu masih dalam peringkat perbincangan dan keputusan muktamad dijangka diketahui dalam tempoh terdekat.

Ibu bapa membantah cadangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) untuk memindahkan Sekolah Menengah (SM) Sains Miri di Bakam ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinjar di Lapok, Baram, kira-kira 120 kilometer dari Miri.Menurut sumber yang enggan identitinya didedahkan, sekolah yang menempatkan kira-kira 400 pelajar itu perlu dipindahkan segera kerana bangunan sekolah retak dan tidak selamat digunakan.

“Kami kecewa kerana cadangan itu dibuat pada saat-saat akhir sedangkan mereka (KPM) sudah lama mengetahui masalah keretakan yang melanda sekolah itu.”Petang tadi satu mesyuarat khas diadakan antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak (JPNS) dan Pejabat Pelajaran Daerah Miri (PPDM) di Dewan Sri Pahlawan, SMK Sains Miri kira-kira 15 minit dari pusat bandar.

Sumber itu mendedahkan sebahagian besar daripada bangunan sekolah termasuk Dewan Sri Pahlawan tempat mesyuarat khas diadakan mengalami keretakan di bahagian dinding dan lantai.Sekolah itu dibina sekitar tahun 1990an.