Mampukah Kuasa Ketiga Ubah Politik Negara?
Shaharul Shafie
Hari ini kita digemparkan apabila secara rasminya blogger yang penuh kontroversi, Raja Petra Kamaruddin atau lebih dikenali sebagai RPK mengumumkan buat pertama kalinya nama seorang peguam, Malik Imtiaz Sarwar sebagai antara calon ‘beliau’ yang bakal mewakili pihak Kuasa Ketiga di dalam pilihanraya umum akan datang. Bukan itu sahaja, RPK yang menjadi penyokong kuat Pakatan Rakyat (PR) selama ini dan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menukar pendirian. Malah PRK sendiri dilihat mengemudi pembentukan Kuasa Ketiga dari dalam buangan sukarelanya di London melalui penubuhan Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM). RPK dikatakan kecewa dengan keadaan dalaman PKR hari ini apabila Datuk Zaid Ibrahim yang juga rakan baiknya telah dilihat beliau sebagai ‘mangsa keadaan’ kepada percaturan politik Anwar. Mungkin ramai di antara kita tertanya-tanya apakah itu Kuasa Ketiga atau dalam Bahasa Inggerisnya disebut sebagai “Third Force” di dalam arus politik nasional hari ini.
Apakah itu politik ’Kuasa Ketiga’?
Kuasa Ketiga adalah satu kumpulan politik berbentuk kepartian dan kesepakatan yang ditubuhkan bagi mewakili satu kumpulan yang besar lagi berpengaruh yang berkongsi arah tuju perjuangan politik di peringkat nasional. Perjuangannya adalah berbeza dengan apa yang diperjuangkan oleh dua kuasa politik yang pertama itu. Kuasa Ketiga mampu merubah lanskap politik dengan menjadi kuasa penentu kepada pembentukan sesuatu kerajaan selepas pilihanraya. Dalam konteks Malaysia, dua kuasa pertama yang dimaksudkan ialah Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).
Kuasa Ketiga yang digembar-gemburkan wujud di Malaysia ini adalah satu kumpulan politik beraspirasi baru yang bakal memberi tekanan kepada kedua-dua kuasa yang sedia ada terutamanya dari segi merebut undi di dalam satu-satu pilihanraya sama ada ia pilihanraya umum ataupun kecil. Lazimnya, pemimpin kumpulan Kuasa Ketiga ini adalah meliputi mereka yang pernah berada dalam dua kumpulan sebelum ini tetapi kerana kecewa dan perjuangan politik yang berbeza menyebabkan mereka membentuk pakatan baru. Selain itu, Kuasa Ketiga juga semakin menempa tempat di hati para pengundi di kebanyakan negara yang mengamalkan demokrasi seperti Amerika Syarikat, New Zealand, Kanada dan United Kingdom (UK), pemimpin-pemimpin pertubuhan bukan kerajaan atau NGO adalah kebanyakannya akan terjun menjadi pemimpin Kuasa Ketiga di negara masing-masing. Kuasa Ketiga yang boleh dikategorikan sebagai sangat berjaya adalah yang wujud di UK. Kita akan berbicara tentang Kuasa Ketiga di luar Malaysia nanti.
Kenapa wujud Kuasa Ketiga di Malaysia?
Kewujudan Kuasa Ketiga di Malaysia disebabkan oleh faktor kelemahan oleh BN dan PR. Ramai yang berada di dalam Kuasa Ketiga ini berasa kecewa atau tidak berpuashati dengan cara pengurusan perjuangan dan idealisma politik oleh parti masing-masing yang memaksa mereka meninggalkan parti. Sebagai contohnya, kelemahan dan ketelusan di dalam PKR telah menyebabkan ungkapan Kuasa Ketiga hari ini semakin menonjol. Ramai yang melaporkan tidak dapat menerima apa yang dikatakan berlakunya ’dinasti Anwar’ di dalam PKR yang sepatutnya menjadi satu wadah perjuangan rakyat marhaen apabila anaknya sendiri, Nurul Izzah Anwar terpilih menjadi Naib Presiden pada usia yang muda. Ada juga yang tidak berpuashati dengan perjalanan pemilihan pucuk pimpinan PKR baru-baru ini dan ada juga melihat kelemahan PKR di dalam pentadbiran sebagai kerajaan terutamanya di negeri Selangor. Sebenarnya, kemunculan Kuasa Ketiga di dalam negara banyak disebabkan oleh kepincangan di dalam PKR dan kurang disebabkan oleh masalah-masalah dalaman parti-parti komponen PR yang lain iaitu PAS dan DAP. Tetapi tidak dinafikan bibit-bibit permulaan Kuasa Ketiga ini sebenarnya sudah lama bermula dan ia berasal dari kelemahan UMNO dan parti-parti komponennya yang lain di dalam BN seperti MIC.
Perkasa Kuasa Ketiga?
Bercakap mengenai Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), kita boleh katakan Perkasa mempunyai kriteria untuk dikategorikan sebagai Kuasa Ketiga tetapi tidak sepenuhnya. Ini adalah kerana penubuhan Perkasa hanya dibuat sebagai NGO dan mengelak membentuk kuasa kepartian. Membentuk parti adalah syarat utama bagi dikategorikan sebagai Kuasa Ketiga. Ramai yang berpendapat bahawa Perkasa dilihat mampu membentuk Kuasa Ketiga tetapi hanya jika UMNO sendiri menjadi lemah.
Saya boleh mengagak bahawa Perkasa sebenarnya mempunyai cita-cita menjadi parti politik Melayu. Lebih-lebih lagi apabila dipimpin oleh ahli Parlimen Bebas, Datuk Ibrahim Ali dan mendapat sokongan kuat daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Seperti mana yang kita sedia maklum, penubuhan Perkasa dibuat semasa UMNO dipimpin oleh Tun Abdullah Badawi (Pak Lah) dan semua maklum bagaimana buruknya hubungan Pak Lah dengan Tun Dr. Mahathir. Sokongan Tun Mahathir kepada Perkasa adalah sebagai memberi tekanan kepada Pak Lah.
Maka, Perkasa dibentuk terlebih dahulu menjadi NGO bagi memberi peluang kepada UMNO untuk mengukuhkan dirinya semula. Kini apabila tampuk UMNO dipegang oleh Datuk Seri Najib Razak dan perpaduan di dalam UMNO dapat diperbaiki maka Perkasa dijangka tidak akan meneruskan cita-citanya di dalam menceburi politik secara rasmi. Namun begitu, daripada maklumat yang boleh dipercayai, walaupun Tun Mahathir mulai senang dengan kedudukan UMNO sekarang di bawah Najib, beliau didakwa masih mengaturkan kemungkinan tetap adanya calon Kuasa Ketiga di dalam pilihanraya akan datang yang disokong oleh Perkasa secara lembut. Beliau dikatakan berbuat demikian sekadar untuk mengukur sejauh mana kekuatan UMNO selepas era-Pak Lah. Wallahualam.
Satu lagi contoh jelas Kuasa Ketiga yang muncul dalam tiga tahun lepas ialah Hindraf dan Human Rights Party (HRP) yang disebabkan dakwaan kegagalan MIC sebagai wakil masyarakat India di dalam kerajaan BN di dalam memperbaiki mutu kehidupan masyarakat itu sejak merdeka. Malah, Hindraf juga tidak percaya kepada kemampuan PR bagi memperjuangkan mereka dan keadaan ini amat sesuai untuk kita takrifkan sebagai satu contoh kewujudan ’komponen’ terawal Kuasa Ketiga di negara kita. Oleh kerana masyarakat India adalah kecil maka kewujudannya tidak dapat dirasai sebagai cabaran atau tekanan kepada BN dan PR sebagai kuasa yang mampu mengurangkan majoriti mereka di dalam satu-satu pilihanraya. Meskipun pengundi Cina menolak parti MCA dan Gerakan semasa pilihanraya yang lepas, mereka bersepakat menyokong DAP yang secara tidak langsungnya memberi kekuatan kepada PR keseluruhannya. Faktor kekuatan DAP yang masih dilihat sebagai alternatif parti kaum Cina menyebabkan Kuasa Ketiga tidak wujud secara jelas di dalam masyarakat Cina. Jika adapun, segelintir pemimpin kurang penting dari Gerakan dan parti-parti berteras kaum Tionghua di Sarawak yang membentuk sebuah parti baru yang dikenali sebagai Parti Cinta Malaysia (PCM) pada tahun lepas. Kekuatan PCM tidak signifikan untuk membentuk Kuasa Ketiga. Sepertimana pentingnya kuasa politik Melayu menentukan kerajaan di negara ini kepada BN dan PR, ia juga amat penting kepada Kuasa Ketiga. Dengan adanya Hindraf/HRP dan PCM yang mewakili India dan Cina masih tidak mampu mengukuhkan Kuasa Ketiga. Episod terkini dalam politik tanah air di dalam PR yang menyebabkan bekas calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim keluar parti dan berjanji membentuk parti baru pastinya kesempatan yang dilihat bagus bagi mengukuhkan Kuasa Ketiga.
Kuasa Ketiga tidak semestinya parti serpihan
Mungkin ada antara kita yang berpendapat Kuasa Ketiga ini adalah kumpulan serpihan daripada BN dan PR. Mungkin ada kebenarannya hakikat itu tetapi perlu dijelaskan sekali lagi pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Kuasa Ketiga juga merupakan mereka yang tidak pernah pun menyertai BN dan PR tetapi terlibat di dalam NGO-NGO dan berpandangan yang tidak sehaluan sama ada dengan perjuangan BN dan PR. Sepertimana Zaid yang kini dilaporkan sudah menyertai sebuah parti dorman iaitu Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) dan dijangka menjadi Presiden terbaru AKIM tidak lama lagi, kita tidak boleh menyebut AKIM sebagai parti serpihan kerana parti itu telah wujud sejak tahun 1995. Jika Zaid membuka parti baru mungkin parti berkenaan boleh disebut sebagai serpihan. Namun begitu, untuk mendefinisikan Kuasa Ketiga, isu parti serpihan tidak timbul sama sekali. Untuk Kuasa Ketiga sama ada sebagai sebuah parti (tidak kira batul-betul baru atau serpihan) atau sebuah lagi gabungan parti-parti, mereka perlukan sekurang-kurangnya 20 peratus sokongan daripada undi rakyat Malaysia. Oleh itu, untuk mengatakan wujudnya Kuasa Ketiga secara sepenuhnya di Malaysia hari ini masih terlalu awal. Ini kerana kita belum lagi melalui satu proses pilihanraya umum untuk mengukur sejauh mana mereka yang mendakwa menjadi Kuasa Ketiga ini mampu mengaut 20 peratus undi popular bagi melayakkan mereka menggunakan istilah tersebut.
Sejarah Kuasa Ketiga di dunia Barat
Di negara-negara maju di Barat dan mengamalkan demokrasi, kewujudan Kuasa Ketiga sudah mula wujud selepas era Perang Dingin. Seperti yang penulis sebut awal-awal mengenai kelemahan sistem dua parti yang membuatkan rakyat jelik dan kecewa dengan dasar-dasar kedua-dua parti utama inilah menyebabkan kewujudan Kuasa Ketiga. Selain itu, antara pelopor Kuasa Ketiga di rantau sebelah sana yang mulai mendapat tempat telah dimulakan sebagai parti pencinta alam sekitar.
Mungkin anda pernah mendengar nama parti ’Green’. Parti-parti berhaluan alam sekitar banyak ditubuhkan di beberapa negara di dunia Barat. Namun begitu, di Amerika Syarikat, parti Green masih dilihat sebagai ’pilihan’ ketiga kepada pengundi tetapi masih belum layak disebut sebagai Kuasa Ketiga. Ini kerana kemampuannya mengutip sebilangan peratusan undi popular masih di peringkat yang rendah. Parti-parti seperti Republikan dan Demokrat masih lagi dianggap teguh dan dipercayai di dalam masyarakat yang mengamalkan sistem dua parti yang kukuh itu.
Contoh yang terbaik adalah di United Kingdom (UK). Semasa pilihanraya umum UK pada pertengahan tahun ini, tiada satu parti pun yang memenangi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baru. Sepertimana yang anda sedia maklum, gergasi politik atau Kuasa Pertama dan Kuasa Kedua di UK adalah parti Buruh dan parti Konservatif. Dewan Rakyatnya yang dikenali dengan nama House of Commons mempunyai 650 kerusi dan parti yang boleh membentuk kerajaan memerlukan 326 kerusi sebagai majoriti mudah.
Di dalam pilihanraya tersebut, kedua-dua parti itu gagal memperolehi jumlah mudah tersebut. Parti Konservatif dipimpin oleh David Cameron (kini Perdana Menteri) memperolehi 306 kerusi manakala parti Buruh yang dipimpin oleh Perdana Menteri ketika itu, Gordon Brown pula mendapat 258 kerusi. Untuk membentuk kerajaan di dalam keadaan yang diistilahkan sebagai ’Parlimen Tergantung’, mereka perlu mencari mana-mana parti lain atau Bebas yang memenangi kerusi untuk bergabung dan membentuk kerajaan. Akhirnya, sebuah lagi parti yang layak ditakrifkan sebagai Kuasa Ketiga iaitu parti Liberal Demokrat dengan 57 kerusi akhirnya bersetuju bekerjasama dengan parti Konservatif bagi membentuk kerajaan. Dalam lain perkataan, dengan keperluan yang teramat sangat ke atas Liberal Demokrat oleh Konservatif dan Buruh menunjukkan kepada kita betapa kuatnya pengaruhnya sebagai satu kuasa. Selain itu, Liberal Demokrat yang memperolehi hampir 23% undi popular semasa pilihanraya tersebut dan ini turut melayakkan partinya dianggap sebagai Kuasa Ketiga yang menggugat kemampuan parti Konservatif dan Liberal di dalam membentuk kerajaan bersendirian. Ini adalah satu kes yang jelas bagi menggambarkan keadaan sebenar politik tentang Kuasa Ketiga.
Konsensus Bebas di Parlimen bukan Kuasa Ketiga
Di Malaysia, kita ada sekumpulan ahli Parlimen yang berstatus Bebas dan kesemua mereka ini adalah bekas ahli Parlimen PKR yang keluar dari parti tersebut kecuali Ibrahim Ali. Mereka menggelarkan kumpulan mereka sebagai ’Konsensus Bebas’ dan mendakwa mereka adalah Kuasa Ketiga. Bagi penulis, bagi memperolehi status Kuasa Ketiga tidak semudah itu kerana mereka tidak membentuk satu ikatan yang formal yang membolehkan mereka menjadi sebuah parti politik. Malah sebagai ’Bebas’ dengan sendirinya meletakkan mereka ’di atas pagar’ politik. Dalam pilihanraya UK yang lalu juga, mereka yang tidak menyertai Liberal Demokrat dan menang atas tiket parti lain seperti parti Green, parti-parti wilayah seperti Plaid Cymru di Wales dan Parti Kebangsaan Scotland untuk Scotland serta parti Bebas. Mereka ini seramai 37 ahli parlimen yang tidak berstatus Kuasa Ketiga.
Jika mereka (Konsensus Bebas di Malaysia) mempunyai ideologi yang sama secara sahsiahnya mereka bukan lagi berstatus ’Bebas’. Untuk menjadi ahli parlimen Bebas, setiap daripada mereka tidak boleh nampak bersama dan berkaitan antara satu sama lain di dalam tindakan dan wadah perjuangan mereka. Oleh itu, dengan mengatakan Konsensus Bebas sebagai Kuasa Ketiga adalah salah dan berangan-angan menjadi Kuasa Ketiga sebagai pakatan bersama-sama mereka juga sudah menyalahi etika sebagai mereka yang ditakrifkan sebagai ahli parlimen yang benar-benar ’Bebas’.
Sejauh mana kemampuan ’Kuasa Ketiga’ dalam PRU-13?
Sepertimana yang saya ada ulas awal tadi bahawa mereka yang mendakwa mereka sebagai Kuasa Ketiga masih belum lagi sah atau layak memiliki pengiktirafan berkenaan. Mereka perlu melalui perjalanan pilihanraya untuk melihat sama ada mereka berjaya menawan lebih 20 peratus undi popular sebagai syaratnya. Namun begitu, saya jangkakan pilihanraya umum ke-13 nanti akan memberi satu perbezaan jika dibandingkan dengan pilihanraya umum ke-12 terutamanya kewujudan calon-calon yang akan bertanding menentang calon-calon BN dan PR di dalam sebahagian besar kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri nanti.
Mungkin terlalu awal untuk menyangka akan kemampuan mereka untuk bertanding dalam tiga penjuru di kesemua kerusi Parlimen dan DUN di negara ini. Mungkin mereka akan memilih lokasi yang sesuai yang tepat dengan jangkaan jumlah pengundi yang menyokong perjuangan mereka. Kawasan yang terbaik untuk mereka menentang BN dan PR adalah di kawasan-kawasan Melayu bandar (terutamanya di Lembah Kelang) dan juga kawasan tumpuan utama pemimpin PR dan BN seperti Permatang Pauh, Lembah Pantai dan Gombak. Saya berasa yakin tiada calon ’Kuasa Ketiga’ di kawasan penempatan calon Cina. Ini adalah kerana berdasarkan senario politik hari ini, DAP masih mampu menguasai sentimen dan undi-undi pengundi Cina. Selain itu juga, kawasan-kawasan luar bandar juga tidak sesuai untuk mereka ini mencuba nasib kerana sentimen Melayu di kawasan ini adalah masih selesa dengan perjuangan UMNO dan PAS.
Dalam kata lain, calon-calon Kuasa Ketiga ini patut lebih selesa meletakkan calon di kawasan yang kini diduduki oleh ahli Parlimen PKR. Ini adalah kerana penonjolan Kuasa Ketiga hari ini adalah hasil daripada konflik dalaman yang melanda PKR sejak pemilihan parti yang baru lepas. Dijangkakan juga beberapa ahli Parlimen PKR sendiri yang dilihat rapat dengan Zaid yang ada sekarang mungkin membuat kejutan meninggalkan parti itu dan bertanding sebagai calon ’Kuasa Ketiga’. PRU-13 boleh menjadi gelanggang pertama golongan yang mendakwa ’Kuasa Ketiga’ yang pertama di Malaysia ini mencuba nasib dan mencari pengalaman berpilihanraya. Namun begitu, amat sukar bagi mereka untuk mencapai kedudukan seperti parti Liberal Demokrat di UK yang dipimpin oleh Nick Clegg yang kini menjadi Timbalan Perdana Menteri UK hasil rundingan perkongsian kuasa dengan Konservatif yang memperolehi lebih 20 peratus undi popular di seluruh UK. Mungkin pada awalnya, Kuasa Ketiga di Malaysia ini akan hanya dianggap pengacau undi tetapi dengan manifesto perjuangan yang mantap, telus dan usaha bersungguh-sungguh mampu membolehkan mereka mencapai tahap seperti Liberal Demokrat di UK.
PRK Batu Sapi permulaan Kuasa Ketiga?
Pilihanraya kecil di Batu Sapi boleh diambil contoh sebagai permulaan kepada episod Kuasa Ketiga itu. Di dalam PRK tersebut, tiga parti yang bertanding ialah PBS(BN), PKR(PR) dan SAPP. SAPP boleh diibaratkan sebagai Kuasa Ketiga dalam konteks kecil negeri Sabah. Namun begitu, keputusan yang memihak kepada BN dengan jelas sekali menang besar walaupun jumlah undi PKR dan SAPP dicampur masih belum dapat menandingi BN. Tetapi ini adalah satu permulaan kepada sesuatu yang lebih menjuruskan kepada kepentingan Kuasa Ketiga di masa hadapan sekiranya mereka memperolehi undi besar yang menakutkan calon BN dan PR.
Nasib Kuasa Ketiga hari ini tidak dapat ditentukan lagi. Keadaan mereka ini adalah bergantung kepada kemampuan PKR di dalam menjelaskan perkara sebenar dan mengaku kesalahan yang dilakukan agar nampak telus di mata penyokongnya dan rakyat yang menyokongnya supaya terus menyokongnya. Perlu diingatkan PKR dan PR tidak boleh menolak hakikat bahawa kemenangan mereka dahulu juga disebabkan oleh pengundi atas pagar dan juga ahli-ahli UMNO dan komponen BN yang lain yang mengundi protes. Jika BN sudah bersedia dan mantap kali ini, pastinya undi protes itu akan kembali semula kepada mereka. Senario politik negara kita masih sukar diramal tetapi PR terutamanya PKR masih banyak perkara yang perlu dilakukan bagi memenangi hati rakyat semula.
Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik dan program pembangunan organisasi, Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di dalam KLToday.com. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com
PS: Pandangan diatas adalah pandangan peribadi penulis yang menulis artikel ini, walau apapun pandangan orang ramai terhadap PAS dan PAKATAN Rakyat yang lebih penting sekarang, kita perlu ada perubahan yang menyeluruh agar kita dapat menilai sendiri apakah kerajaan Baru PAKATAN RAKYAT lebih baik dari kerajaan BN. Bagilah peluang dulu kepada PAKATAN RAKYAT memerintah Malaysia barulah kita dapat menilai sendiri serta tahu sejauh mana keberkesanan kerajaan baru nanti yang bakal menganti BN. Adalah lebih baik kita mempunyai system dua (2) parti dimana semua parti2 kecil bergabung dengan parti yang sudah establish untuk menumbang kerajaan BN, sekiranya terlalu banyak parti2 kecil wujud, ini hanya akan memudahkan BN terus berkuasa, Jadi fikir2lah wahai rakyat Malaysia jangan disebabkan masalah peribadi kita berbalah sesama sendiri yang akhirnya BN akan terus berkuasa menindas rakyat yang perlukan perubahaan. Bah mari kita sama-sama berubah agar dapat menikmati kehidupan yang lebih baik bersama dengan kerajaan baru yang berkonsepkan Kebajikan untuk semua.
Kuasa Ketiga Mampukah Menukar Kerajaan BN?
Search
Followers
Harga Minyak Dunia
Kalender Hijrah
Jaringan Lain
Ruang Pandangan dan Aduan
Archives
-
▼
2010
(255)
-
▼
December
(33)
- PAS Miri Bersyukur SMSains kekal,Mahukan Kerajaan ...
- Lapok oh Lapok..Retorik BN
- Perancangan Jahat BN Rampas Tanah SMSains Miri
- Harta Karun Diluar Negara Pemimpin BN
- Janji 100 Hari Pakatan Dan Majilis Kahwin Perdana ...
- Cuba Dulu Baru Tahu, Pilih Pakatan Tolak BN
- Pengantin Termahal Untuk Tahun 2010 !!!
- Umno Biadab Dengan Raja-Raja Melayu
- INTIPATI UCAPAN PRESIDEN PAS SEMPENA KONVENSYEN PA...
- PAKATAN Mesti Bersatu Menumbang Kerajaan BN di Ten...
- Bencana Akibat Projek Empangan Bakun, Rakyat Menan...
- Selamat Menikmati Kehidupan Baru CM tapi Jangan Lu...
- Tanah Sarawak Dah Habis Di Mana Hak Rakyat???
- Kekejaman Baru. Sanggup Mengambil Hak Rakyat Demi ...
- Di Sebalik Keindahan Bandaraya Miri Ada Rakyat Yan...
- Kuasa Ketiga Mampukah Menukar Kerajaan BN?
- AIR MATA BUAYA - PEMIMPIN BN MERAYU SYMPATI KEPADA...
- Sarawak - Kecurian Di Hujung Senjata - Keganasan T...
- Lawatan Kerja Dr Zulkefly:Perkukuh Pakatan Rakyat ...
- Pemimpin BN Hanya Penting Diri Sendiri Tanpa Memik...
- Boleh percayakah janji2 BN?Hari ini berjanji Esok ...
- PERINGATAN BUAT PEMIMPIN PAKATAN. JANGAN LUPA DIRI...
- Kerajaan BN Tidak Kesah Penderitaan Rakyat Marhean
- Hasil Bumi Sarawak Hanya Dikaut Oleh Pemimpin BN
- Perutusan Maal Hijrah dari PAS Miri
- Rasuah dan Penyalahguna Kuasa oleh Pemimpin BN sem...
- Hijrah: Tegak Negara, Daulat Syariat
- Skandal Kekayaan Pemimpin BN & Kroni, Rakyat terus...
- Kroni diutamakan, Rakyat ditindaskan!!!
- Orang Bukan Islam Yang Amanah Lebih Baik Dari Oran...
- BN = Bila Naik? Baru Naik !!!! BN terus menindas R...
- Harga Petrol Naik Lagi!!! Satu Hadiah BN utk Sambu...
- Akibat Sokong BN harga Barang Semakin Naik
-
▼
December
(33)
Episode Sebuah Perjuangan
林川興
Local Previews:
National Previews:
0 Comments Received
Post a Comment