Pembaziran undi – kerakusan Raziah di kawasan piliharaya Taib
Wednesday, March 9th, 2011 GMT - This post is also available in: English (From Sarawak Report)

Taib telah menyerahkan sekawasan tanah yang amat luas di kawasan pilihanrayanya kepada sebuah syarikat yang dikawal oleh saudaranya, Raziah! Syarikat Saradu Plantations telah diberikan tanah di Balingian seluas 8,000 hektar di sekitar tahun-tahun 2004 – 2009. Kebanyakan dari tanah itu dirampas dari baki kawasan hutan simpan Setuan Besar, di sebuah kawasan berdekatan dengan Bintulu. Sebahagian lagi dari baki tanah berkenaan adalah milik orang-orang tempatan yang mana hak mereka ke atas NCR telah dicabuli!

Menurut pihak Pendaftar Tanah, individu yang melaksanakan urusan berkenaan adalah saudara kepada Taib Mahmud iaitu Raziah Mahmud-Geneid. Raziah didapati menjalankan segala urusan dari pejabat-pejabat syarikatnya, Kumpulan Parabena, yang mana dia dan Taib merupakan pemegang utama saham di situ. Sebagaimana yang pernah didedahkan sebelum ini, nombor telefon yang sama telah digunakan untuk mengendalikan urusan-urusan rangkaian syarikat-syarikat yang telah mengaut tanah-tanah yang boleh dijumlahkan kesemuanya menjadi lebih luas dari kepulauan Singapura dalam masa hanya beberapa tahun sahaja. Nombor telefon syarikat Kumpulan Parabena yang berpejabat di Jalan Sungai di Kuching itu adalah 082-423 877.

Komuniti-komuniti dihalau seperti lazimnya
Salinan yang terdapat pada pihak pendaftar jelas menunjukkan bahawa para pegawai masih lagi memproses pengeluaran geran sementara, tetapi ini jelas tidak menghalang syarikat Saradu mencerobohi tanah-tanah NCR dalam tahun 2007, merentasi jalan-jalan, denai-denai dan hutan di situ. Terdapat 4 buah penempatan kaum Iban dan beberapa penempatan kaum Melanau telah terjejas. Matek Anak Geram memberitahu Sarawak Report bahawa ladang sagunya di Kuala Balingian, suatu kawasan sepencarian bagi komunitinya, telah dimusnahkan.

Menurut para NGO kaum Melanau, iaitu kaum Taib Mahmud sendiri, orang-orang Melanau tidak digalakkan membuat aduan dan tuntutan kerana para penghulu dan ketua kampung mereka diselia dan kawal oleh BN. Mana-mana orang Melanau yang mengadu mengenai rampasan tanah yang dilakukan oleh Raziah akan dikatakan sebagai ‘menentang kerajaan’. Lebih teruk lagi, jika penentangan mereka terhadap pertubuhan PELITA yang merupakan sebuah perbadanan milik negeri, akan disifatkan sebagai ‘menentang Islam’. PELITA merupakan sebuah agensi yang bernaung dengan LCDA, dipengerusikan oleh Taib, yang menyerahkan tanah-tanah kepada syarikat milik saudaranya sendiri. Adakah pengeksploitasian Taib terhadap kaumnya sendiri itu bersifat ‘keIslaman’?

Kuasa undang-undang?

Matek Anak Geram dan orang-orang kampungnya telah membuat aduan kepada pihak polis mengenai pencerobohan Saradu yang diketahui belum bersedia untuk membayar pampasan menggunakan tanah-tanah orang-orang tempatan. Namun, menurut mereka, aduan mereka tidak dipedulikan.

Sebaliknya setelah mereka memfailkan kes tersebut ke mahkamah dalam tahun 2008, orang-orang kampung telah mendirikan penghadang bagi menghalang kemasukan para pekerja ladang, yang mana tercetusnya persengketaan yang buruk. Matek telah ditahan pada awal pagi oleh sepasukan 10 orang anggota polis dan dia disumbatkan ke dalam lokap, dan didakwa ‘menghalang’ pekerja-pekerja ladang. “Dia (Raziah) merampas tanah-tanah kami dan dengan sengaja menyebabkan kami menderita” kata Matek.

Matek, 31 tahun, mempunyai dua orang anak, memberitahu Sarawak Report bahawa kewujudan ladang kelapa sawit di kawasan mereka telah memusnahkan kehidupan mereka dalam banyak aspek, mencemari sungai-sungai, memusnahkan hidupan air dan membubuh bahan-bahan kimia kedalam sungai dan tanah. Menurutnya lagi, dengan termusnahnya hutan, maka orang-orangnya telah kehilangan tempat mencari makanan di hutan, begitu juga dengan pokok-pokok yang ditebang dan dibawa keluar untuk dijual. Dia telah terpaksa bekerja di bandar sebagai pekerja kempen NGO dan dia menghantar wang ke rumahnya di kampung halamannya, manakala saudara-maranya yang dahulunya pernah mengerjakan sawah sendiri, kini terpaksa bekerja sebagai ‘kuli’ untuk orang lain.

Kemusnahan

Tanah kawasan rendah yang ada kini bukanlah luas sangat, dan apa yang tinggal itu pun telah dimusnahkan – imej satelit jelas menunjukkan bukti-bukti berkenaan. Orang-orang dari kaum Iban yang telah mempertahankan hutan warisan mereka telah mendapat tentangan dari para samseng dan juga ditakut-takutkan oleh pihak polis sepanjang masa perbicaraan dijalankan. Sementara itu, ‘pembangunan’ tetap diteruskan. Jelaslah semua tindakan itu membawa keuntungan kepada keluarga Taib. Salah sebuah pemegang saham dalam Saradu adalah syarikat Organic Treasure milik Raziah Mahmud dan suaminya Robert Geneid.

Tidak mengejutkan – Raziah membayar gaji lebih rendah dari kadar minima!

Sementara itu, kawasan pilihanraya Taib, seperti biasa, tidak merasa atau melihat sebarang faedah hasil dari ‘kemajuan’ tetapi hanya merasakan keperitan hidup. Matek menjelaskan bahawa ladang kelapa sawit enggan mengambil orang-orang tempatan bekerja. Mereka lebih gemar menggunakan tenaga kerja dari Indonesia kerana gaji mereka jauh lebih rendah. Ini merupakan ikutan di ladang-ladang lain seluruh Sarawak. Menurut Matek lagi, pekerja-pekerja ladang hanya menerima upah asas sebanyak RM9 sehari, dan dinaikkan sehingga RM15 sehari untuk pekerja-pekerja yang lebih senior! Kadar sedemikian adalah jauh lebih rendah dari kadar RM22 sehari yang telah dipersetujui, yang ditetapkan oleh Konsulat Indonesia. Tindakan keluarga Taib mengambil pekerja asing dan bukannya para pengundinya amatlah memalukan, dan yang lebih memalukan adalah di mana para pekerja itu hanya dibayar gaji kurang dari separuh kadar yang telah dipersetujui!

Tiada had?

Sarawak Report berasa amat terkilan dengan keangkuhan Ketua Menteri terhadap orang-orang yang sekaum dengan beliau yang sering memilihnya sebagai wakil mereka. Adakah usia lanjutnya menjadi pengganggu ke atas kepekaannya dalam politik, atau adakah kesan dari memerintah selama 30 tahun itu telah menjadikannya befikiran bahawa beliau boleh melakukan apa sahaja terhadap sesiapa sesuka hatinya? Seperti mana yang setiap orang ketahui, Ketua Menteri itu telah tewas dalam kes demi kes persengketaan melibatkan tanah-tanah NCR dalam mahkamah-mahkamah sejak beberapa bulan yang lalu. Namun beliau tetap gagal bertindak. Sebaliknya beliau tetap akan bertanding juga, dan mengemukakan rayuannya menentang kes-kes yang telah menyaksikan kekalahannya, tetapi lupa akan adanya Mahkamah Pendapat Popular yang mengadilinya juga dan akan mengeluarkan keputusan (verdict) tidak lama lagi! Kes Saradu akan didengar di Miri beberapa bulan lagi. Sementara itu, peguam Dominique Ng, ADUN Kuching, yang mewakili 4 buah penempatan kaum Iban yang menentang kes Saradu yang merampas tanah itu telah membuat analisanya sendiri.

“Ketamakan keluarga Taib tiada hadnya, dan telah melampaui batasan rasa malu. Mereka tetap akan mencuri, dan mencuri lagi, sepanjang masa mereka dapat lakukannya, sehinggalah mereka dilucutkan dari kekuasaan atau mati. Mereka akan tetap menodai negeri Sarawak sehingga salah satu kejadian ini terjadi!”, katanya kepada Sarawak Report.

Jelaslah, Taib amat percaya dengan ancaman “jika kamu tidak menolong kami, kami tetap tidak akan menolong kamu”, yang diucapkan oleh besannya George Chan, diharapkan akan membawa mukjizat kepada kawasan pilihanrayanya, di samping tawaran sebanyak RM100 untuk satu keluarga seperti yang dijanjikan oleh timbalannya Alfred Jabu Numpang. Namun, dalam masa 30 tahun memegang tampuk pemerintahan negeri Sarawak, apakah yang telah dilakukan oleh Taib Mahmud ke atas kawasan pilihanrayanya di Kuala Balingina? Beliau perlu ingat, saudaranya, Raziah, mempunyai satu undi sahaja, dan orang-orang Sarawak kini semakin hari semakin bijak!
PS: Sepatutnya rakyat Sarawak sudah lama sedar dan bersedia untuk menukar kerajaan BN kepada kerajaan PAS dan PAKATAN Rakyat kalau mahu selamatkan tanah mereka dari terus dirampas oleh mereka yang tamak dan menyalahgunakan kuasa, Bah apa agik tok masa untuk mengubah dalam piliharaya umum kelak mun sidak BN bagi duit ambik aja...itu hak kita semua. Mari kita bersedia untuk berubah demi kebaikan semua, Insy'Allah kita selamat. PAS untuk Semua