PAS Kawasan Miri buat kali kedua telah mengadakan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Miri di Dewan Serbaguna Kelab Gymkhana Miri pada 2 Mei 2011 bersamaan 28 Jamadil Awal 1432 H. Mesyuarat telah dihadiri lebih 120 perwakilan dari seluruh Dewan Pemuda,Muslimat dan 6 Cawangan penaja sekitar Miri. Lebih manis buat julung kali perwakilan Dewan Himpunan Penyokong PAS Miri turut hadir diketuai sendiri Ketua DHPP ,En John Barah Aning dan Setiausaha,Encik Yeo. Encik Yeo sendiri turut terpilih penerima Anugerah Khas Laksamana Cheng Ho atas keaktifan beliau menambah keahlian DHPP seramai 70 orang di Miri.

Majlis disempurnakan perasmiannya oleh YB Haji Husam Musa. YDP PAS Miri,dalam ucapan pembukaan,mengingatkan jentera PAS Miri untuk kembali fokus kepada perjuangan yang lebih besar ,iaitu dakwah dan siasah menjelang Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Biarpun peranan PAS Miri pada PRDUN Sarawak dahulu tidak melibatkan sebarang kerusi ditandingi di Miri,PAS Miri telah menunjukkan komitmen dan gerakerja tersusun bagi membantu rakan rakan Pakatan Rakyat sehingga membolehkan 2 kerusi Dun Miri dimenangi oleh Pakatan Rakyat yang ditandingi oleh DAP. Hanya dengan setiakawan dan kerjasama yang kukuh saja hasrat Pakatan untuk mengambil alih Putrajaya akan tercapai. Beliau mengingatkan semua ahli meneruskan kerja untuk mendapatkan seramai ahli peringkat Cawangan bagi memastikan momentum perkembangan ini berterusan.

Haji Husam menegaskan, dalam ucapan perasmiannya agar PAS Miri menggunakan sepenuh kekuatan yang ada bagi merealisasikan PAS for ALL dan betapa indahnya ISLAM sebagai panduan hidup bagi masyarakat pelbagai kaum di Sarawak ini. Dengan prestasi dan penerimaan baik penduduk setempat,beliau mengharapkan usaha ini diteruskan khas di peringkat pendalaman bagi menyebar luaskan ISLAM dan PAS.

Usul utama yang diluluskan sebulat suara oleh perwakilan adalah untuk mendesak Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat untuk memberi laluan kepada PAS bagi mewakili Pakatan Rakyat bagi kerusi parlimen Miri bagi menterjemahkan konsep setiakawan Pakatan dan ‘PAS for ALL’ di bumi kenyalang ini. Dengan kemunculan aktif DHPP Miri di bandaraya ini,potensi PAS bagi meraih kemenangan adalah begitu cerah sekali. Mesyuarat kali ini juga menyaksikan ,Tuan Haji Jofri dan Engr. Khairulnizam sekali lagi diberi amanah memimpin PAS Kawasan Miri bagi sesi 2011-2013.