KUALA LUMPUR : Demokrasi terkubur! Itu ungkapan sesuai untuk menggambarkan keadaan di negeri Sarawak ketika ini.Apa tidaknya, pemimpin BN di negeri itu termasuklah Exco kerajaan negeri bertindak samseng apabila mengugut Ketua Kampung di Sarawak agar jangan menyokong Pakatan Rakyat atau berdepan tindakan dipecat dari jawatan mereka.Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan negeri Sarawak, Michael Manyin Jawong berkata, Ketua kaum di negeri itu, yang menyokong Pakatan Rakyat secara terbuka akan dipecat dan tidak akan dilantik bagi penggal seterusnya.

“Jika mereka (ketua kaum) dengan terbukanya tidak menyokong kerajaan, maka Pegawai Daerah boleh merekomenkan jawatan mereka (untuk) digugurkan.
“Bagaimanapun, mereka akan dimaklumkan terlebih dahulu menerusi surat dan selepas itu tempoh perkhidmatan mereka akan ditamatkan lebih awal,” katanya dalam Program Latihan Ketua Masyarakat Bahagian Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, di Kuching.Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN itu, ketua kaum perlu menyokong kerajaan bukan hanya mereka dilantik oleh kerajaan, tetapi juga diberi elaun RM450 setiap bulan dan selepas tempoh itu, tempoh jawatan mereka akan dinilai sama ada akan diperbaharui atau tidak.

Adun BN itu turut menghalang Ketua Kampung di negeri Sarawak agar tidak mengadakan kempen secara terbuka terhadap Pakatan Rakyat.
“ Walaupun tidak dapat memainkan peranan dalam bidang politik secara langsung, tetapi ia tidak menghalang ketua kaum berkempen untuk pihak kerajaan.
“Mereka tidak boleh menyokong pembangkang (Pakatan Rakyat), tetapi mereka boleh menyokong kerajaan (Barisan Nasional),” katanya.

Sarawak akan berhadapan satu Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Sibu yang Penamaan Calon ditetapkan pada 8 Mei ini dengan pengundiaannya ditetapkan pada 16 Mei.
Pakatan Rakyat di Sarawak terdiri daripada DAP, PKR, SNAP dan PAS dan rekod menunjukkan budaya ugut dikalangan pemimpin BN di Sarawak sesuatu yang lumrah dan seolah-olah satu budaya memandangkan negeri Sarawak sejak puluhan tahun lalu kekal dalam cengkaman Ketua Menteri paling lama di Malaysia iaitu Taib Mahmud.
Beliau telah menjadi Ketua Menteri sejak era Perdana Menteri Malaysia yang ketiga, Tun Hussien Onn.