Bakal calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) telah mula turun padang kerana sedar akan keadaan yang bakal dihadapinya pada 16 Mei depan. Beliau tidak mahu membuang masa dengan cuba menemui sebanyak mungkin pengundi, termasuk penjual sayur dan ikan di tengah-tengah bandar 260,000 jiwa yang terkenal dengan penduduk Foochow itu. Robert Lau Hui Yew sedar bahawa liku-liku yang terpaksa diharunginya bukannya mudah.
Ahli Majlis Perbandaran Sibu (MPS) itu, belum pernah lagi mencuba nasib dalam sebarang pilihan raya meskipun pernah dilantik sebagai ejen mendiang Datuk Robert Lau dalam pilihan raya umum 2004 dan 2008.Jadi, tindakan turun ke gelanggang lebih awal merupakan satu langkah bijak bagi memperkenalkan dan mendekatkan diri dengan pengundi, apatah lagi tempoh berkempen hanya lapan hari. Di bawah Parlimen Bandar Sibu yang luas itu, beliau terpaksa meliputi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Bawang Assan, dengan majoriti
Iban, Nangka dengan majoriti Melayu/Melanau, dan Pelawan, dengan majoriti Cina. Ketiga-tiga kerusi DUN terbabit dimenangi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri 2006.Bagaimanapun, Pelawan hampir terlepas ke tangan DAP apabila calonnya hanya menang dengan majoriti 263 undi. Pelawan pernah dimenangi DAP bersama-sama dengan Bukit Assek dalam pilihan raya negeri 1996. Dua kerusi lain yang terlepas daripada cengkaman SUPP dalam pilihan raya itu ialah Maradong dan Kidurong. Kekalahan itu berpunca daripada isu tempatan termasuk kelewatan menyiapkan Lapangan Terbang Sibu, selain faktor Presiden SUPP yang juga Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Wong Soon Kai yang dianggap gagal menangani isu berkaitan dengan hal ehwal kaum Cina. Malah, undi dalam pilihan raya umum lalu juga sebenarnya tidak memihak kepada SUPP bagi kawasan DUN Pelawan.
Bagaimanakah agaknya corak pengundian pengundi Cina yang menyumbang 90 peratus daripada sekitar 23,000 pengundi berdaftar di kawasan Pelawan dalam pilihan raya kecil nanti, terutama sesudah tsunami politik 8 Mac 2008? Adakah mereka akan terpengaruh oleh isu tempatan dan mengundi seperti dalam pilihan raya umum lalu? Tentu mereka lebih yakin untuk membuat perhitungan yang wajar selepas menyaksikan tindakan kaum Cina di Semenanjung.Tetapi, ini bukan bermaksud peranan pengundi Melayu/Melanau dan Iban tidak penting. Harus diingat bahawa pengundi daripada kaum Bumiputera berkenaan adalah sekitar 38 peratus, dan jika sebahagian besar pengundi terbabit memberi sokongan kepada SUPP, peluang SUPP meraikan kemenangan adalah cerah. Pengundi Iban yang mendiami 110 rumah panjang terutama di kawasan Bawang Assan dan sepanjang Batang Igan penting diberi perhatian ketika berkempen.
Tuntutan dan keperluan mereka perlu dipenuhi oleh SUPP jika mahu memastikan mereka berdiri teguh di belakang SUPP. Masalah dan isu yang membelenggu kaum Melayu/Melanau terutama di Dewan Undangan (DUN) negeri Nangka juga perlu diberikan perhatian – jangan sampai mereka berasa terpinggir. Adakah Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Nangka telah memainkan peranan beliau dengan berkesan untuk membantu pengundi Melayu/Melanau di kawasan itu?
Pertarungan kali ini dijangka antara pertarungan paling sengit dalam sejarah pilihan raya kecil, lebih sengit daripada pernah disaksikan pada 1982. Bandar Sibu pernah jatuh ke tangan DAP pada 1982 apabila Ling Sie Ming mengetepikan Tan Sri Wong Soon Kai daripada SUPP dengan majoriti tipis sebanyak 141 undi. Dalam pilihan raya itu, beliau dilonjak sebagai ‘giant killer’ sehingga mengejutkan penduduk di bandar berpenduduk majoriti Cina itu. Sibu pernah menyaksikan penghijrahan sekitar 1,000 orang Cina ke bandar itu pada 1901 untuk menerokai kawasan Rejang. Mereka dibawa oleh Wong Nai Siong ke Sungai Merah sebagai penanam padi dan sayur-sayuran.
Kerusi berdekatan, Lanang, juga pernah dimenangi DAP melalui calonnya Wong Sing Nang dengan majoriti 3,973 undi dalam pilihan raya umum 1990. Dalam pilihan raya itu, calon SUPP Tieu Sung Seng meraih 11,432 undi berbanding Sing Nang sebanyak 15,405 undi. Dalam pilihan raya lalu, Wong Ho Leng yang pernah mencuba nasib di Bandar Sibu sebanyak tiga kali meraih sebanyak 15,903 undi, berbanding mendiang Lau 19,138. Jadi, majoriti sekitar 3000 undi tidaklah boleh dianggap terlalu besar, apatah lagi jika diambil kira kedudukan mendiang Lau sebagai Timbalan Menteri.Pengundi kawasan majoriti Cina di Sibu kelihatan tidak teragak-agak menyokong pembangkang jika mereka tidak puas hati dengan kerajaan atau parti yang mewakili mereka.
Dengan sebanyak 60 peratus daripada sekitar 55,000 ialah pengundi Cina, apakah alasan untuk pengundi Cina menyokong SUPP? Mereka merupakan pengundi yang bersikap praktikal dan tidak mempedulikan sangat janji dan dasar politik pembangunan kerajaan. Mereka tidak lagi mengundi atas dasar parti, tetapi berdasarkan isu. Bagi pengundi Cina, kalaupun mereka mengundi DAP, kerajaan Barisan BN tetap akan melaksanakan projek pembangunan di kawasan itu, termasuk projek tebatan banjir yang berharga beratus-ratus juta ringgit seperti yang diumumkan para pemimpin kerajaan.
Pola pengundian dalam kalangan pengundi Cina tidak lagi sama seperti sebelum pilihan raya negeri 2006 yang menyaksikan enam kerusi SUPP terlepas ke tangan DAP. SUPP masih lagi mengubati lukanya ekoran kekalahan memalukan itu. Keadaan bertambah sukar bagi SUPP sesudah menyaksikan bagaimana MCA dan Gerakan terpukul teruk di Semenanjung dalam pilihan raya umum 2008.Mahu atau tidak, sedikit banyak, apa-apa yang berlaku dalam pilihan raya lalu terhadap kedua-dua buah parti mewakili kaum Cina di Semenanjung itu secara tidak langsung mempengaruhi minda dan perlakuan pengundian mereka. Bagi para pengundi terbabit, apakah ruginya jika seorang lagi wakil DAP dihantar ke Dewan Rakyat bagi menemani Chong Chieng Jen, Ahli Parlimen Bandar Kuching, agar suara pembangkang yang mewakili kaum Cina dari Sarawak lebih kuat dan lantang?
Dalam pilihan raya kecil ke-11 itu nanti, SUPP terpaksa menggunakan strategi bertahan kerana DAP dijangka akan menyerang parti tertua Sarawak pimpinan Tan Sri George Chan Hong Nam itu secara bertubi-tubi dari pelbagai penjuru. Yang pasti, DAP akan memanipulaskan isu tempatan dan nasional. Isu tempatan yang bakal dijaja termasuk isu seperti parit, banjir, isu Sarawak United College dan kegagalan SUPP menubuhkan universiti yang dijanjikannya sejak hampir 10 tahun lalu.
Isu nasional terkini dijangka akan turut dieksploitasikan oleh DAP, termasuk isu Apco, cukai barangan dan perkhidmatan (GST), dan beberapa lagi. Sejauh manakah isu nasional itu memberi kesan dalam pilihan raya kali ini? Adakah isu nasional bakal mempengaruhi pengundi Sibu seperti dalam pilihan raya 1982 dan 1990? Antara faktor penting yang membawa kemenangan DAP dalam pilihan raya 1982 di Sibu dan Lanang pada 1990 ialah kejayaannya memanipulasikan isu nasional pada waktu itu.
DAP mahu memastikan ia tidak terkilan sekali lagi dalam percubaannya kali ini. SUPP pula tidak mahu dilihat terus disingkirkan oleh kaum Cina. Reputasi yang cuba dipertahankan oleh SUPP adalah begitu tinggi, dan ia terpaksa membayar harga yang mahal jika tewas dalam pilihan raya itu. SUPP dijangka terus menggunakan ramuan lama terutamanya kemampuannya sebagai parti pemerintah membawa projek pembangunan dan memperjuangkan nasib kaum Cina di negeri 2.4 juta jiwa ini. Kelebihan kepemimpinan Perdana Menteri, terutama berkaitan Model Ekonomi Baharu, ketelusan kerajaan, dan konsep 1Malaysia yang mengutamakan semua kaum akan digunakan sebagai modal kempen SUPP. Jasa dan sumbangan mendiang Lau yang berjaya mentransformasikan bandar Sibu akan turut dimanfaatkan bagi mempengaruhi sentimen pengundi.
Apakah implikasinya jika DAP menang dan SUPP kalah? Kemenangan itu akan memberi keyakinan kepada DAP bahawa pengundi Cina di bandar akan menyebelahinya dalam pilihan raya negeri akan datang, yang dijangka diadakan selepas September tahun ini.
Manakala bagi SUPP pula, jika kerusi itu terus berada dalam genggamannya, hal ini memberi bayangan baik terhadap masa depannya. SUPP boleh mendakwa bahawa imej dan kedudukannya sudah pulih, dan pasti, pengundi Cina akan menyokongnya dalam pilihan raya negeri ke-10 nanti. Dengan kata lain, keputusan kali ini memberi gambaran yang bakal berlaku dalam pilihan raya itu nanti. Tidak hairan, kedua-dua pihak sentiasa dalam debaran dan berusaha sedaya upaya, dengan pelbagai strategi, untuk memastikan pengundi memihak kepada parti masing-masing.Satu daripada strateginya adalah dengan mengumumkan nama bakal calon lebih awal. Setakat ini, Robert Lau Hui Yew, 45 tahun, yang telah bersama-sama SUPP selama 17 tahun cuba memperagakan dirinya sebagai calon yang paling sesuai. Beliau digambarkan sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat dan mampu menyelesaikan masalah pengundi di Sibu.
Dalam pada itu, DAP kelihatan lebih berhati-hati dalam memilih calonnya. Pengerusi DAP Negeri yang juga Adun Bukit Assek,Wong Ho Leng kelihatan amat berwaspada bagi memastikan kemenangan DAP. Di satu pihak, beliau tidak mahu dilihat sebagai ‘tamak kuasa’ dengan mencuba nasib sekali lagi. Beliau juga cuba mengelak daripada dipersepsi sebagai enggan memberi laluan kepada pemimpin muda dalam parti. Itulah antara sebab beliau mengumumkan bahawa DAP tidak kekurangan calon berpotensi dengan menyatakan tujuh nama lain. Tetapi sebenarnya beliau berada di persimpangan jalan.
Hakikatnya, ketokohohan beliau sebagai pemimpin pembangkang di Sarawak sukar dipertikaikan. Bagi masyarakat Cina di Sibu, pemimpin yang lantang dan memiliki keberanian untuk berdepan dengan BN itu, merupakan calon yang paling sesuai. Pekiraan akhir sebenarnya, bukan terletak kepada muda atau tua, baru atau lama, tetapi siapa yang dapat membawa kemenangan kepada DAP.
Inilah yang menjadi faktor utama yang diambil kira pemimpin Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila membuat keputusan akhir dalam menentukan ayam tambatannya untuk turun ke gelanggang di bandar yang sering dikaitkan dengan perjudian setiap kali menjelang pilihan raya. Tetapi DAP dan Pakatan Rakyat tidak boleh memperjudikan nasibnya kali ini dengan menurunkan calon yang belum diuji dan tidak dikenali, serta sukar ‘dijual’ kepada pengundi.Calon itu mesti mampu membawa kemenangan dan seterusnya melonjakkan imej dan kewibawaan Pakatan Rakyat. Bayangkan jika DAP kalah di Sibu dan calon PKR juga kalah di Hulu Selangor di tangan BN dalam kedua-dua pilihan raya kecil nanti? Risikonya terlalu besar untuk ditanggung. BN tentu ingin menyaksikan Pakatan Rakyat kecundang di Sibu dan juga di Hulu Selangor.
Nota:Penulis ialah Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik, yang juga pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak. Beliau sedang membuat kajian tentang pilihan raya kecil Bandar Sibu, termasuk dari segi strategi kempen dan representasi media.
DAP Guna Isu Tempatan Rampas Parlimen Sibu
Search
Followers
Harga Minyak Dunia
Kalender Hijrah
Jaringan Lain
Ruang Pandangan dan Aduan
Archives
-
▼
2010
(255)
-
▼
April
(29)
- Gelombang Hijau Bersama PAS di Miri
- Sindrom Penafian PBB/BN Berterusan,Masa Untuk Raky...
- Tazkirah:Menang didunia atau menerima syahid di ak...
- Solat Hajat Menjelang PRK Sibu
- BUY -Election not By-Election?
- DAP Guna Isu Tempatan Rampas Parlimen Sibu
- Dari Hulu Selangor ke Sibu
- OKU ,Warga Emas dan Ibu Tunggal Terharu Ziarah Pro...
- Penjagaan Alam Sekitar Menurut ISLAM
- BN Tidak Hormati Hak Rakyat dan Demokrasi
- Pakatan Rakyat Miri bersama Penjaja Pasar Malam Me...
- SNAP beri komitmen tinggi bersama Pakatan Rakyat
- Youth Wings Gear-up To Win Sibu Seat for Pakatan
- Kerjasama DAP dan PAS Mantap,Bantu Kg Majoriti Iban
- Ibu Tunggal Muslimah Rayu Bantuan
- Pakatan Rakyat Selami Masalah Penjaja Pasar Malam
- Dewan Pemuda PAS Sedia Gempur BN di Sibu
- Menjelang PRK ; Kempen Minggu Tidak Menonton TV
- Pemuda Pakatan Rakyat Sarawak Buat Laporan Polis I...
- DAP wakil PR di Parlimen Sibu
- Sekretariat Pakatan Rakyat Miri direalisasikan
- Azeez: Media Pro-BN lagakan DAP dan PKR menjelang ...
- Email Pembaca: Harga insurans kenderaan semakin mahal
- Perkongsian Ilmu:Tatkala tindakan pimpinan jadi ujian
- PAS Miri sambut baik arahan PAS Pusat
- UMNO/BN Kaki Judi Perosak Masyarakat
- Pentas Pemuda Detik Kebangkitan Gerakan Perubahan ...
- Sarawak:Negeri Rakyat dan Berkebajikan
- BN di Sarawak ..Kroni Taib Kaya Raya;Rakyat Papa K...
-
▼
April
(29)
Episode Sebuah Perjuangan
林川興
Local Previews:
National Previews:
0 Comments Received
Post a Comment