Bermula 1 Mei depan, tambang bas ekspres bagi semua destinasi di Sarawak akan mengalami kenaikan sehingga 20 peratus.
Pengerusi Persatuan Syarikat Pengangkutan Bas Sarawak (SBTCA), Lau Khing Seng berkata, kenaikan itu dibuat kerana peningkatan kos operasi yang semakin meningkat dan terpaksa ditanggung oleh semua syarikat bas.
“Kita terpaksa menanggung peningkatan kos operasi kira-kira 20 peratus kebelakangan ini berikutan kenaikan alat ganti, tayar dan sebagainya,” katanya pada satu sidang media.
Menurut Lau, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) meluluskan satu kadar tambang baru bas bagi semua destinasi pada tahun lalu iaitu berdasarkan RM0.13 bagi setiap kilometer jarak perjalanan.
Namun demikian, katanya, persatuan tampil dengan kadar tambang yang lebih rendah untuk kepentingan semua pihak, khususnya para penumpang bas ekspres.
Sebagai contoh, kadar tambang bagi perjalanan dari Sibu ke Kuching yang ditetapkan LPKP sebanyak RM60.10, persatuan telah mengurangkannya kepada RM40 (tambang pada waktu ini) yang akan meningkat kepada RM50 untuk seorang penumpang bagi perjalanan sehala apabila harga baru berkuat kuasa 1 Mei depan.
“Semua ahli telah bersetuju dengan kadar yang persatuan telah cadangkan itu pada satu mesyuarat kelmarin (Khamis),” katanya.
Lau turut memberitahu, kali terakhir kadar tambang bas ekspres dinaikkan di Sarawak ialah lapan tahun lalu.
Dengan kadar tambang baru itu, tambang bagi perjalanan dari Kuching ke Serian ialah RM8, Tebedu (RM13), Sri Aman (RM25), Sarikei (RM45), Sibu (RM50), Selangau (RM65), Bintulu (RM80), Batu Niah (RM90) dan Miri (RM100).
Bagi perjalanan dari Sibu ke Bintulu ialah RM27, Batu Niah (RM40), Miri (RM50), Sarikei (RM9), Sri Aman (RM35), Serian (RM50), Tebedu (RM57), Bintangor (RM7), Mukah (RM22), Kanowit (RM9), Balingian (RM24) dan Selangau (RM10).
Bagi perjalanan dari Miri ke Batu Naih ialah RM12, Selangau (RM45), Sarikei (RM60), Sri Aman (RM85), Serian (RM95) dan Tebedu (RM100).
Dari Bintulu ke Miri, tambang baru ialah RM27, Batu Niah (RM16), Selangau (RM18), Serian (RM70), Sri Aman (RM60), Sarikei (RM38) dan Tebedu (RM80).
Bagi perjalanan dari Mukah ke Kuching, kadar tambang ialah RM80, Miri (RM57), Bintulu (RM29), Sarikei (RM30), Selangau (RM11) dan Balingian (RM7).
Sarikei ke Balingian, kadar baru ialah RM38, Batu Niah (RM50), Sri Aman (RM23), Selangau (RM20), Serian (RM38) dan Tebedu (RM43).
Tambang baru dari Serian ke Batu Niah ialah RM90, Sri Aman (RM17) dan Selangau (RM60). Bagi Sri Aman ke Batu Niah pula, tambang baru ialah RM80 dan Selangau (RM45).
Sementara bagi perjalanan dari Selangau ke Batu Niah, tambang baru ialah RM30.