Seperti yang kita sedia maklum, polisi kerajaan Barisan Nasional Sarawak sekarang adalah polisi pembangunan yang dipanggil politik pembangunan. Di bawah politik pembangunan ini antara lain yang terlibat adalah pembangunan tanah dan pembangunan hidro elektrik. Di bawah rancangan pembangunan tanah terutamanya tanah NCR, kerajaan BN akan mensasarkan keluasan ladang sampai lebih kurang Satu (1)juta hektar tanah. Sebelum menulis lanjut, ingin diingatkan lagi kepada pembaca bahawa konsep tanah NCR adalah termasuk:
1. Temuda;
2. Pendam;
3. Pemakai menua; dan
4. Pulau Galau.
NCR tidak terhad kepada temuda sahaja seperti yang diwar-warkan oleh pihak tertentu. Sila rujuk kes keputusan Mahkamah dalam Madeli Salleh yang telah diputuskan di Mahkamah Persekutuan iaitu Mahkamah tertinggi di Malaysia. Kes ini mengiktiraf dan menghormati konsep yang betul dan sebenar. Kerajaan Sarawak seolah-olah tidak mengiktiraf hak NCR rakyat dalam keputusan ini. Di Sarawak selagi BN berkuasa, melalui politik pembangunan, BN akan memberikan lesen perladangan kepada syarikat-syarikat untuk membuka ladang-ladang sawit mahupun penanaman semula hutan tanpa meminta kebenaran dari rakyat tempatan. Kerajaan BN juga akan terus membina 12 lagi empangan sehingga tahun 2030 kalau mereka terus diberi kuasa oleh rakyat. Kesan - kesan langsung daripada perladangan dan pembinaan banyak dam ini, adalah TANAH NCR rakyat akan habis sebab pemilikan tanah NCR akan bertukar tangan dari rakyat rumah panjang kepada syarikat-syarikat dan NCR di tepi sungai pula pasti akan TENGGELAM. Kerajaan BN hari ini hanya mengiktiraf tanah NCR yang dibuka sebelum 1.1.1958 yang kebetulan pula berada berdekatan tepi-tepi sungai. Sebabnya kebetulan pengangkutan utama sejak dulu adalah sungai sebelum kemudahan lain seperti jalan darat muncul. Oleh itu, apabila Empangan atau Dam dibina, takungan dari Dam ini pasti akan menenggelamkan tanah NCR rakyat. Keluasanya mencecah ratusan ribu hektar. Contohnya Bakun Dam sahaja keluasan Tanah NCR yang ditenggelamkan adalah seluas Negara Singapura.
0 Comments Received
Post a Comment