KOTA BHARU, 28 Feb: Akibat isu tuntutan hasil petroleum oleh kerajaan negeri telah diiklankan oleh kerajaan Pusat sebagaimana yang disiarkan dalam media arus perdana baru-baru ini, rakyat Sabah dan Sarawak telah melahirkan rasa kebimbangan mereka.
Kerana itu, pemimpin kerajaan negeri dijemput untuk menyampaikan taklimat berhubung perkara itu bagi mendapatkan penjelasan, kerana dibimbangi mereka juga hilang hak sebagaimana kerajaan negeri Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa, berkata pada 22 Mac ini, wakil kerajaan negeri dijemput untuk memberi taklimat serta penjelasan berhubung tuntutan itu kepada beberapa buah parti politik di dua buah negeri pengeluar minyak itu.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat Exco, di sini hari ini serta mendengar taklimat khas yang disampaikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas.
Baru-baru ini, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia telah menyiarkan penjelasan isu tuntutan hasil petroleium kerajaan negeri berbentuk iklan dalam beberapa buah media arus perdana.
Antara soalan yang dibangkitkan apakah istilah yang disebut dalam Akta Kemajuan Petroleium 1974 mengenai pembayaran hasil minyak dan gas, mengapa wang ehsan yang ditawarkan oleh kerajaan Persekutuan kepada negeri Kelantan hanya berjumlah kira-kira RM20 juta dan berbagai lagi.
Sehubungan itu, kerajaan negeri telah menjawab kesemua lapan soalan yang dibangkitkan dalam akhbar rasmi PAS iaitu Harakah keluaran 26 hingga 28 Febuari lalu juga berkisar pada soalan yang sama.
Husam seterusnya memberitahu, kerana kebimbangan itu rakyat Sabah dan Sarawak telah menghantar surat supaya kerajaan negeri menghantar wakilnya untuk memberi penjelasan berhubung perkara itu.
Pada masa yang sama, beliau turut menjelaskan kerajaan negeri hanya akan mengambil keputusan yang bakal diambil berhubung tuntutan itu mengikut keputusan yang dibuat oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan.
“Ini urusan besar, negeri ada Dewan Undangan Negeri dan sebenarnya kuasa memberi hak kepada petronas adalah Dun dan bukannya kuasa kerajaan negeri.
“Mengikut perlembagaan negara, kuasa ini adalah kuasa Dun sama ada terima pakai akta petroleum atau yang lain-lain. Oleh kerana itu, sekiranya negeri memutuskan sesuatu perkara, ianya lebih kuat,”ujarnya lagi.
Pada masa yang sama beliau turut memberitahu kesemua Adun Barisan Nasional (BN) di negeri itu dijemput hadir pada program itu untuk menyatakan pendirian mereka.
“Kalau dalam mesyuarat Exco kita tidak dapat mendengar pendirian mereka, jadi dalam taklimat ini mereka boleh menyatakan pendirian yang sama selepas penjelasan yang diberikan dalam taklimat itu,”ujarnya.
Tegasnya, bukan sahaja wakil-wakil rakyat dari kerajaan, malah pihak pembangkang juga boleh berbuat demikian.
Sementara itu, semua wakil-wakil rakyat, Anggota Parlimen, Penyelia Dun dan Parlimen telah mengikuti taklimat khas kira-kira pukul 2.45 petang tadi.
Turut hadir dua orang anggota BN, Datuk Norzula Mat Diah (Adun Paloh) dan Mat Yusoff Abd Ghani (Nenggiri).
0 Comments Received
Post a Comment