Gambar hiasan : Sebuah rumah mewah


Parti Islam Se-Malaysia PAS berasa hairan dengan kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan janji 100 hari Pakatan Rakyat akan membawa anak cucu merana kerana tidak ada kemampuan kewangan. Sepatutnya seorang Perdana Menteri mesti berfikiran positif apabila perancangan baik untuk rakyat di negara ini. Apakah salah apabila Pakatan Rakyat mengemukakan rancangan untuk manfaat majoriti rakyat? Salahkah Pakatan Rakyat hendak menghapuskan Felda Plantation dan membuka ladang-ladang baru kepada generasi kedua dan ketiga? Salahkah Pakatan Rakyat hendak menyusun kembali tol yang dianggap sebagai penyebab bebanan terpaksa ditanggung oleh rakyat dengan peningkatan kos operasi. Salahkah Pakatan Rakyat untuk memberi imbuhan bulanan tambahan kepada guru RM500 sebulan?.

Gambar hiasan :Rumah orang miskin tanpa tangga



Datuk Seri Najib cuba menimbulkan keraguan tentang kemapuan kewangan jika janji 100 hari dilaksanakan. PAS mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Najib kerana baru sedar tentang hal ini, kalau hendak belanja ukurlah kemampuan dahulu. PAS juga hendak mengingatkan kepada Datuk Seri Najib, janganlah kalau untuk kepentingan rakyat umum, tidak mampu, tetapi untuk kepentingan kroni mampu pula diluluskan peruntukan. Adakah Datuk Seri Najib sudah ambil kira kemampuan kewangan negara ketika mencadang untuk membina Menara Warisan 100 tingkat?. Wang sebanyak RM5 bilion mampu membina 1667 buah sekolah yang bernilai RM3 juta sebuah dan mampu memberi biasiswa pelajar perubatan seramai 5 ribu orang di United Kingdom dengan kos RM1 juta seorang dan boleh menampung biasiswa 10 ribu pelajar di fakulti perubatan di Mesir. Kenapa peruntukan untuk Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang boleh dimanfaatkan hampir 3 juta di tiga negeri hanya RM178 juta iaitu 3.6% daripada kos pembinaan Menara Warisan. Apakah peruntukan untuk PERMATA yang dikendalikan oleh Datin Rosmah sebanyak RM111 juta tidak membazir, sedangkan untuk Sekolah Agama Rakyat RM95 juta.

PAS berasa hairan dengan kenyataan seorang Perdana Menteri yang mengatakan negara kita akan menjadi seperti negara Greece kalau ikut perancangan PR. Kenyataan yang sama juga ketika PAS memerintah di Kelantan pada tahun 1990. Pemimpin Umno mendakwa PAS hanya mampu memerintah selama 3 bulan sahaja. Dakwaan mereka hanya menurut kaca mata mereka yang penuh dengan rasuah, ketidakcekapan dan salah urus. Begitu juga ketika kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memberi air percuma sebanyak 20 meter padu, pemimpin Umno kata ini perbelanjaan membazir. Pendek kata untuk rakyat semuanya membazir, kerana bimbang apabila rakyat senang, BN tidak ada harapan untuk menjerat leher pengundi dalam setiap pilihanraya.

PAS ingin menjawab keraguan Perdana Menteri Malaysia ragu tentang daripada mana sumber yang akan PR perolehi. Antara sumbernya ialah kita akan memerangi rasuah yang menyebabkan wang negara hilang sebanyak RM28 bilion. Pakatan Rakyat tidak akan membuat Persidangan Wanita Pertama seperti kendalian Datin Rosmah selama 3 hari hampir RM4.5 juta. Subsidi untuk penjana kuasa bebas sebanyak RM19 bilion perlu dikaji semula kerana membebankan negara.
PAS berkeyakinan janji 100 hari, Pakatan rakyat mampu laksanakan, berdasarkan pengalaman di Kelantan yang mampu memberi kebajikan kepada rakyat walaupun sumber yang terhad. Keadaan berbeza apabila Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat yang mempunyai sumber kewangan yang lebih luas untuk dijanakan bagi manfaat rakyat.







Ustaz Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS Pusat