Raziah merampas tanah hutan simpan dan menguntungkan Taib – satu laporan ekslusif!
Saturday, January 15th, 2011 GMT
This post is also available in: English, Iban (Petikan dari Sarawak Report)


Kami boleh mendedahkan bahawa adik perempuan Taib, Raziah Mahmud, telah sekali lagi merampas tanah dari orang Sarawak. Siasatan-siasatan kami telah mendedahkan bahawa Taib Mahmud sendiri juga terlibat. Cubaan Raziah untuk menyembunyikan penglibatannya dalam rancangan menukar Tanah Hutan Simpanan di kawasan Ensengei kepada ladang kelapa sawit yang amat luas sebaliknya telah mendedahkan satu lagi skandal yang lebih besar. Kini kami boleh menunjukkan kaedah yang digunakan oleh Raziah dan juga abangnya, Taib, untuk mendapatkan beratus-ratus hektar tanah negeri – yang diandaikan sebesar separuh negara Brunei – sejak beberapa dekad yang lalu!



Pengukuran dan pembahagian Native Lands secara tradisional
Ensengei merupakan salah sebuah dari hanya beberapa buah kawasan Tanah Hutan Simpanan kawasan rendah yang ada di Sarawak. Secara tradisinya Native Customary Land Rights milik orang tempatan di kawasan berkenaan telah diluluskan oleh British dalam tahun 1947, akan tetapi pada tahun 1984 Taib telah mengarahkan bahawa kawasan tersebut diambil oleh kerajaan Negeri sebagai Hutan Simpanan. Namun demikian, di dalam beberapa siri urusan antara tahun-tahun 2005 dan 2008 beliau kemudiannya menyerahkan kira-kira 20,000 hektar tanah yang sepatutnya dilindungi itu kepada adiknya sendiri!
Seperti mana yang kerap dilakukan di Sarawak, pada mulanya masyarakat-masyarakat di kawasan itu menyedari tentang transaksi rahsia ini apabila beberapa syarikat pembalakan telah mencerobohi dan menebang apa sahaja pokok di kawasan yang biasanya tempat pencarian makanan dan juga dusun buah-buahan orang-orang tempatan itu. Syarikat-syarikat tersebut berbuat demikian berpandukan lesen-lesen konsesi yang mereka tunjukkan sebagai kebenaran rasmi untuk melaksanakan kerja-kerja mereka di situ.

Walau bagaimana pun, bersyukurlah, kerana pada tahun 2008 seorang peguam hak asasi manusia, seperti ketua PKR Baru Bian telah berjaya dalam beberapa strateginya menentang Taib yang merampas tanah-tanah NCR dalam mahkamah-mahkamah. Pasukan Baru Bian telah menggempur beberapa kes terhadap syarikat-syarikat ini dan juga terhadap Kerajaan Sarawak, yang telah menjualkan tanah tersebut dan mengeluarkan lesen-lesen. Sehingga perkara-perkara ini diselesaikan, para pembalak telah diarahkan untuk menangguhkan kegiatan pembalakan mereka di atas tanah-tanah yang sedang dalam persengketaan itu.

Penyembunyian Raziah yang kekok
Dalam pada itu siasatan-siasatan kami kini telah mendedahkan identiti sebenar individu yang sebenarnya di sebalik perbicaraan-perbicaraan itu, seperti yang disedari oleh beberapa orang tempatan dan juga peguam-peguam mereka, adalah adik Taib sendiri, Raziah Mahmud. Raziah bukan sahaja rapat dengan syarikat-syarikat perladangan terbesar yang dianugerahkan lesen-lesen untuk meranapkan Ensengei, iaitu Lambang Sinar Mas dan Usaha Jasamaju, tetapi kami juga telah memperolehi rekod-rekod rasmi yang jelas menunjukkan Raziah telah menyimpan dan berkemungkinan mengawal geran-geran tanah mereka. Kami boleh mengesahkan bahawa Lambang Sinar Mas adalah milik Yu bersaudara yang memiliki syarikat pembinaan Hock Seng Lee Bhd (HSL), sebuah kroni perniagaan keluarga Taib, sementera Usaha Jasamaju pula dimiliki oleh beberapa buah syarikat di mana pemegang utama saham-saham adalah Hamid Sepawi. Sepawi adalah sepupu yang sangat kaya kepada Taib, yang telah menerima banyak tanah dan kepentingan dari Negeri Sarawak, adalah salah seorang yang terkaya di Malaysia.

Walau bagaimanapun, bukti-bukti yang kami perolehi berdasarkan rekod-rekod Pendaftar Tanah menunjukkan bahawa syarikat yang telah mengadakan rundingan untuk mengeluarkan geran-geran tanah di Ensengei sebenarnya dilakukan oleh Kumpulan Parabena, yang dimiliki dan diuruskan oleh Raziah sendiri. Urusan ini adalah berdasarkan fakta bahawa alamat dan butir-butir lain yang terdapat pada rekod Pendaftar Tanah adalah sama seperti dalam geran-geran tanah tersebut dan sebenarnya adalah alamat Kumpulan Parabena – 154/56 Jalan Sungai, Padungan, Kuching – dan bukannya alamat syarikat-syarikat seperti yang dinyatakan (sila lihat dalam versi Bahasa Inggeris mengenai entri Kumpulan Parabena dalam rekod Pendaftar Syarikat-Syarikat).

Sarawak Report seterusnya boleh mengesahkan bahawa kedua-dua pengurus yang nama mereka tercatat dalam rekod Pendaftar Tanah berkenaan dengan kedua-dua set transaksi dengan Lambang Sinar Mas dan dengan Usaha Jayamaju, bekerja secara langsung untuk Raziah. Chia Hon Thin dan Paul Yu Chee mungkin mewakili syarikat-syarikat mereka masing-masing, tetapi mereka berkongsi alamat dengan Kumpulan Parabena! Begitu juga nombor telefon Chia di Kuching adalah 082 41 3877 didapati sama dengan nombor telefon Kumpulan Parabena seperti mana yang terdapat dalam direktori telefon.

Perkara yang lebih merisaukan adalah siasatan-siasatan menyeluruh kami telah mendedahkan bahawa Chia telah menggunakan butir-butir (alamat dan nombor telefon) yang sama dalam banyak transaksi yang berdaftar dengan pejabat Pendaftar Tanah. Kami akan menunjukkan bukti-bukti yang lebih lanjut dalam pelaporan kami yang akan datang, tetapi ini jelas membawa maksud bahawa geran-geran tanah yang bernilai berjuta-juta Ringgit telah diserahkan kepada beberapa buah syarikat yang berlainan, sebenarnya dimiliki secara rahsia dan di bawah kawalan Raziah Mahmud! Sarawak Report percaya, dengan kawasan tanah seluas separuh negara Brunei itu, semuanya diperolehi dari Negeri Sarawak pada kadar harga yang amat murah oleh adik perempuan Ketua Menteri itu!

Taib sendiri telah mendapat keuntungan!
Perkara yang lebih mengejutkan dari ini adalah suatu fakta yang telah kami perolehi dan buktikan bahawa pemegang saham utama dalam Kumpulan Parabena ialah Taib Mahmud sendiri! Kami boleh membuktikan bahawa beliau secara peribadinya memiliki saham-saham dalam Mesti Bersatu, sebuah syarikat yang selanjutnya memiliki saham-saham dalam Miri Properties, yang kemudiannya memegang saham-saham dalam Kumpulan Parabena. Ini telah memperkukuhkan bukti kami bahawa beliau mendapat keuntungan hasil dari transaksi haram ini, dan hakikat ini merupakan persoalan pada kami, mengapakah beliau telah memilih untuk menyerahkan jumlah tanah yang begitu luas kepada adiknya sendiri.

Para pemegang saham yang lain dalam Kumpulan Parabena juga merupakan ahli-ahli keluarga Taib, dan Sarawak Report ingin mengeluarkan segala butir dan bukti yang berkaitan dengan kontrak-kontrak besar Negeri Sarawak dan juga projek-projek gergasi sumbangan kerajaan Persekutuan, telah dianugerahkan kepada syarikat ini. Ini bererti bahawa Taib telah memasukkan wang peruntukan yang amat banyak secara langsungnya kepada syarikat miliknya! Adakah ini yang dimaksudkan oleh Setiausaha Politiknya, Abdul Karim Hamza, yang pernah dipetik sebagai mencadangkan bahawa tidak salah bagi seseorang ahli politik untuk menggunakan ‘peluang berniaga’ yang datang melayang dan bergolek itu?

Lebih banyak lagi bukti
Ini bukanlah merupakan satu sahaja bukti mengenai penglibatan Raziah dalam Geran Tanah Ensengei. Kami boleh menunjukkan kepada umum bahawa usaha untuk menutupi butir-butir transaksi tanah secara rahsia, yang dilakukannya mengikut amalan-amalan mereka sekeluarga selama ini, melalui sebuah syarikat yang kurang terkenal dan kemudian, dengan seberapa segera menjualkan syarikat itu kepada pihak ketiga yang boleh dipercayai untuk mendapatkan keuntungan yang berlipat-ganda. Dengan cara ini beliau berharap beliau akan dapat menyamar pemerolehan ke atas geran-geran itu! (Kami telah mendedahkan cara ini di dalam laporan-laporan sebelum ini).

Siasatan-siasatan bersejarah yang telah kami lakukan di Pendaftar Syarikat-Syarikat telah menemui, sementara Lambang Sinar Mas disenaraikan sebagai dimiliki oleh Yu bersaudara, pada masa yang sama juga geran-geran tanah dianugerahkan oleh pejabat Taib kepada syarikat yang dimiliki oleh adik perempuan dan suami ketiganya, Robert Geneid! Rekod-rekod rasmi menunjukkan pada mulanya syarikat itu, yang dikorporatkan pada 25 hb Disember 2003 itu, telah diambil-alih oleh Raziah pada 24hb Januari 2004, yang pada ketika itu alamatnya telah berpindah ke Kumpulan Parabena.

Laporan Lembaga Pengarah yang difailkan dalam tahun 2005 juga menunjukkan bahawa jawatan-jawatan Pengarah syarikat berkenaan telah diambil-alih oleh Raziah dan Robert pada bulan Januari 2004 bersama-sama anak perempuan mereka Eliah Abas, sebelum ditukarkan kepada Yu bersaudara pada bulan Januari 2005 (sila rujuk gambarajah dalam versi Bahasa Inggeris).

Berdasarkan siasatan kami di Pendaftar Tanah, kami telah mendapati bahawa tanah-tanah seluas 16 ribu hektar telah dikeluarkan kepada Lambang Sinar Mas pada 21hb Mei 2004 pada harga berpatutan berjumlah RM11.5 juta.
Pada masa itu, para pemegang saham adalah Raziah Mahmud yang memegang sebanyak 70% dari saham-saham syarikat itu, dan 28% lagi saham-saham dipegang oleh sebuah syarikat yang dikenali sebagai Mahligai Naluri Sdn Bhd. Mahligai Naluri merupakan syarikat milik bersama antara Raziah dan suami ketiganya Robert Geneid, yang juga merupakan pengurus kepada Lambang Sinar Mas!
Sebaik sahaja Lambang Sinar Mas telah mempolehi geran-geran tanah berkenaan, kita dapat mengesan bahawa Raziah telah menyerahkan hak-milik geran-geran itu kepada Yu bersaudara pada 25hb Januari 2005.

Jualan yang dilakukan dengan segera ini adalah untuk mengaburi sesiapa sahaja bahawa Taib telah menyerahkan tanah-tanah itu kepada adiknya, yang seterusnya telah mendapat keuntungan yang amat lumayan dari transaksi itu. Jarak masa di antara pemerolehan hingga ke penjualan, syarikat itu telah mengeluarkan laporan tahunannya yang menunjukkan aset-aset syarikat seperti pada 31hb Disember 2004 (iaitu beberapa hari sebelum proses jual-beli dilakukan) telah melonjak dari angka sifar kepada RM13.8 juta nilai tanah-tanah itu. Sememangnya pada hari menjelang Tahun Baru merupakan masa yang amat sesuai dan sunyi sepi untuk mendaftarkan secara mengejut pemerolehan harta-harta itu dari Negeri!

Walaupun penjualan telah dilakukan, Raziah masih lagi berdaftar sebagai orang yang boleh dihubungi seperti yang terdapat dalam rekod-rekod di Pejabat Pendaftar Tanah! Ini menunjukkan, walaupun hakmilik telah dilakukan secara rasmi, beliau masih lagi diperlukan untuk mengawal segala kepentingan dalam konsesi-konsesi, dan sebenarnya juga merupakan pengurus yang aktif dalam kegiatan usaha-sama membalak di tanah-tanah NCR di Ensengei! Dengan bukti-bukti yang diketengahkan kepada umum, dapatkah Puan Geneid (nama Raziah Mahmud setelah dia berkahwin dengan Robert Geneid) secara berani menafikan bahawa beliau tidak mendapat apa-apa keuntungan hasil dari usaha-sama ini, yang mewakili kepentingan bercanggah untuk abangnya Ketua Menteri Sarawak itu?

Bukankah siri-siri cubaan untuk penutupan bukti-bukti ini telah mendedahkan yang beliau sememangnya tahu dan sedar bahawa abangnya tidak boleh sewenang-wenangnya mengukur dan membahagikan tanah NCR, supaya tanah-tanah itu dibalak dan diusahakan sebagai ladang kelapa sawit – semua ini dilakukan tanpa membayar sebarang pampasan kepada orang-orang tempatan, tetapi hanya membayar sedikit wang kepada Negeri Sarawak? Adakah ini satu sebab kenapa Abdul Taib Mahmud dikenali ramai sebagai ‘Thief Minister’ (Menteri Mencuri) dan bukannya ‘Chief Minister’ (Ketua Menteri’)?

Berapakah sebenarnya keuntungan Raziah?
Berdasarkan maklumat dari Pedaftar Tanah, kerajaan negeri telah menyerahkan tanah hutan Ensengei kurang dari 20 ribu hektar luasnya kepada dua buah syarikat Kumpulan Parabena dengan harga berdiskaun sebanyak RM13 juta. Jual-beli ladang yang lain mengandaikan nilai sebenar mungkin mencecah RM100 juta. Dengan ini amatlah sukar dipercayai transaksi-transaksi secara rahsia yang dilakukan di antara Taib dan adiknya itu tidak mendatangkan keuntungan yang lumayan kepada mereka.

Kami memohon penjelasan daripada Yu bersaudara dan juga para pemegang saham dalam Usaha Jasamaju untuk mendedahkan berapakah sebenarnya harga yang dibayar untuk pertukaran hak-milik geran-geran yang bernilai tinggi ini, dan sama ada Puan Geneid masih lagi bertindak selaku pengawal ke atas urusan-urusan iaitu dengan pihak Pendaftar Tanah seperti mana yang berdasarkan fakta bahawa sehingga akhir tahun 2010 beliau masih menjadi orang yang boleh dihubungi mewakili pemegang-pemegang konsesi itu?

Peter Runin, iaitu salah seorang wakil kepada 14 buah rumah panjang kaum Iban yang telah mengheret Kerajaan Negeri dan juga pemegang-pemegang lessen ke mahkamah berkenaan rampasan tanah secara haram ini menyatakan bahawa orang-orang tempatan merasa sangat marah, dan mereka tidak akan mudah dibeli dengan sedikit wang. Jelas beliau: “Mereka hendak membalak di kawasan kami dan seterusnya mengusahakan ladang, tetapi kami ingin mempertahankan tanah-tanah kami”. Pendedahan terkini Sarawak Report akan menambahkan satu lagi dimensi ke dalam agenda mesyuarat mereka pada hujung minggu ini untuk membincangkan kes mereka menentang kerajaan dan dipercayai juga akan mengukuhkan lagi kes mahkamah mereka.

Suatu kes penipuan?
Semasa membicarakan kes ini pada bulan Januari tahun lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Y.A Puan Rhodzariah Bt. Bujang mendapati “Encik Baru Bian adalah betul. Tanah NCR tidah sepatutnya diukur dan dibahagikan” Tetapi, beliau mengadili bahawa orang-orang Ensengei harus menentang Kerajaan Negeri dan bukan pemegang-pemegang geran yang telah mendapat konsesi-konsesi itu, KECUALI jika mereka dapat membuktikan wujudnya penipuan. Dengan ini beliau berkata: “orang-orang tempatan yang menuntut hak ke tanah NCR berhak mengadu terhadap sesiapa yang mengeluarkan geran-geran tanah tersebut; bukannya terhadap orang yang memegang geran-geran itu, kecuali mereka dapat membuktikan wujudnya penipuan seperti yang terkandung dalam seksyen 132(1) Undang-Undang Tanah”.
Dengan pendedahan yang telah kita buat yang menunjukkan bahawa pemegang geran-geran adalah sebenarnya adik perempuan kepada si pengeluar geran-geran tersebut dan bahawa ke semua pihak memang sedar akan isu-isu tanah, adalah suatu berita gembira bagi kita mendengar, sama ada mahkamah akan menentukan suatu penipuan sememangnya telah dilakukan. Dengan itu, maka penipuan itu memang dilakukan oleh Ketua Menteri terhadap rakyatnya sendiri dengan bantuan adik perempuannya dan juga syarikat-syarikat kroninya.

Banyak lagi bukti!
Jika umum masih meragui bahawa keluarga Geneidlah orang-orang yang memperolehi tanah-tanah daripada Taib, maka rekod-rekod yang berada di pejabat Pendaftar Tanah seterusnya dapat mengesahkannya. Kerana SEHINGGA TAHUN 2008 (di mana kritikan terhadap keluarga Geneid dan Lambang Sinar Mas pernah diterbitkan), Robert Geneid MASIH disenaraikan sebagai orang yang boleh dihubungi bagi syarikat berkenaan! Ini bermakna, walaupun syarikat itu telah dijual pada bulan Januari 2005 kepada Yu sekeluarga, namum Robert Geneid masih menjadi orang penting yang sentiasa berhubungan dengan Kerajaan Negeri sehingga lewat 2008 berkenaan dengan geran-geran tanah pada ladang kelapa sawit tersebut.

Oleh yang demikian, penyembunyian telah dilakukan secara kurang kemas ini. Walaupun niat untuk meletakkan nama Paul Yu bagi tujuan menyembunyikan nama Raziah dan Robert pada rekod-rekod Pendaftar Tanah, namun alamat dan nombor telefon pejabat Kumpulan Parabena mereka masih digunakan! Dengan ini dapatlah kami mengesahkan bahawa cubaan untuk menutupi bukti kepentingan haram keluarga Geneid ke atas tanah-tanah kaum Iban dan Bidayuh di Ensengei adalah kurang berkesan.

Rekod pada pejabat Pendaftar Tanah pada 2008 – petikan dokumen ini membuktikan bahawa Robert Geneid adalah individu yang penting dan yang sebenarnya boleh dihubungi – dia hanya menukarkan namanya kepada nama Yu bagi menyembunyikan identitinya. Tetapi alamat dan nombor telefonnya telah mengenai syarikat Kumpulan Parabena!
Sebaik sahaja Lambang Sinar Mas memperoleh geran-geran tanah itu, kita dapat melihat bahawa Raziah telah secara cepatnya menukar hakmilik tanah-tanah itu kepada keluarga Yu pada 25hb …

PS: Apa akan terjadi pada nasib rakyat marhaen di Sarawak apabila segala tanah2 di Sarawak dikuasai sepenuhnya oleh pemimpin2 BN dan keluarga serta kroni2nya. Mereka dengan sewenang-wenangnya mengambil hak-hak tanah rakyat tanpa memperdulikan nasib rakyat. Apalagi yang tinggal kalau beginilah keadaannya. Bah apa lagi tunggu dalam pilihanraya nanti kita kena ubah kerajaan BN kepada kerajaan baru Pakatan Rakyat supaya kita tidak terus menderita dan tanah kita kena rampas semuanya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan yang menyalahgunakan kuasa. Kita pakat2 sokong PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya nanti. Selamat berjuang.