Penderitaan Penduduk Tudan Fasa 2
Akibat alpa dan sikap acuh tidak acuh pihak berkuasa tempatan, Kampung Tudan Fasa 2 dilanda banjir kilat semalam. Aduan rakyat mengenai sistem perparitan yang tidak sempurna tidak diberi perhatian oleh pihak berwajib sebaiknya mengakibatkan banjir kilat yang menenggelamkan sebahagian besar rumah di kampung tersebut.
Kampung yang mempunyai lebih kurang 200 orang penduduk ini, telah dilanda banjir beberapa kali sebelum ini, namun, tiada sebarang tindakan susulan yang dibuat bagi membaiki sistem perparitan di sini. Aduan yang sebelum ini dibuat kepada ketua kampung, kelihatan tidak mendapat perhatian pihak berwajib.

Menurut salah seorang mangsa, yang tidak mahu dikenali, banjir ini menyebabkan aktiviti harian tidak dapat dijalankan seperti biasa. Lebih membimbangkan menurut beliau, banjir menyukarkan pergerakan penduduk keluar daripada kampung. “Jika ada kecemasan, seperti orang yang memerlukan rawatan segera, pasti berlaku kesukaran untuk membawa mereka ke hospital”

Setakat ini, tiada sebarang usaha perpindahan dimulakan untuk memindahkan mangsa ke tempat yang lebih selamat. Yang Dipertua PAS Kawasan Miri, Hj Jofri Jaraiee, meluahkan kebimbangan dan kekesalan pihak PAS terhadap kelembapan pihak berkuasa menguruskan masalah banjir ini. PAS menggesa pihak berwajib menyegerakan usaha membantu mangsa bagi mengelakkan kemalangan jiwa disebabkan banjir ini.

Begitu juga dengan keselamatan anak-anak kecil yang pergi ke sekolah juga perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib. Kita juga tidak mahu sebarang tragedy berlaku di kampong tersebut terutama sekali kanak-kanak yang suka bermain-main dalam kawasan banjir.
Hj Jofri, yang melawat kawasan banjir semalam, menggesa pihak berkuasa tempatan menyegerakan usaha untuk menaik taraf sistem perparitan di kawasan ini.

“Jangan hanya menumpukan projek kemajuan kosmetik semata-mata, hinggakan meninggalkan kemudahan asas penduduk tempatan. Projek perparitan ini sepatutnya sudah lama diperbaiki dan disegerakan kerana ianya melibatkan kepentingan rakyat ”. kata beliau dengan nada kesal.


Sebuah Rumah di Tudan yang telah ditengelami air banjir disekitar kawasan rumahnya.
Jalan perhubungan ke rumah ini ditengelami oleh air banjir menyukarkan penduduk keluar rumah.
Banyak lagi kawasan perumahan sekitar kampung tersebut juga kena banjir kilat yang memerlukan bantuan segera dari pihak berkenaan.

Daripada PAS Kawasan Miri